FAMA Fest diperluas ke semua negeri
GOPENG - Program Fiesta Makanan, Bunga dan Buah (FAMA Fest) akan diperluaskan di setiap negeri sebagai platform kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, sebanyak lima program FAMA Fest dianjurkan tahun ini melibatkan 300 usahawan dengan sasaran jualan sebanyak RM5 juta.
"Bermula di Miri, Sarawak pada Februari lalu, sekarang di Perak dan seterusnya di Johor, Pulau Pinang dan Terengganu. Di Perak, kita mensasarkan nilai jualan sebanyak RM2 juta kerana percaya potensinya yang besar.
"Namun kita ada mencadangkan supaya program ini dilaksanakan di setiap negeri. Agensi akan membawa perancangan kepada kita sebelum koordinasikan antara jabatan. Bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada keupayaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melaksanakannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perak FAMA Fest 2023 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli.
Menurut beliau, FAMA Fest dilihat boleh menimbulkan minat terutama golongan belia untuk menceburi bidang pemasaran pertanian dan industri makanan asas tani.
"Bidang ini dilihat kurang mendapat perhatian kerana golongan belia ini mempunyai persepsi yang kurang tepat terhadap pertanian yang perlu berpayah dan berpanas di bawah matahari.
"Kementerian meletakkan ia sebagai salah satu hala tuju untuk meremajakan pertanian dengan menggalakkan penggunaan teknologi pintar dengan mengaplikasikan internet kebendaan (IoT).
"Kita juga menyediakan kemudahan dari segi pinjaman dan geran buat agropreneur muda," katanya.
Ditanya mengenai fenomena El Nino terhadap pertanian, Foong Hin berkata, perubahan cuaca kini memberi impak pro dan kontra terhadap industri agrikultur.
"Saya tidak menafikan ada sedikit mengganggu keberhasilan produk pertanian tetapi tidak semestinya memberi kesan negatif.
"Musim panas terik ini, difahamkan pertumbuhan sayur-sayuran lebih cepat malah ada berlaku isu lambakan produk ini.
"Bagi penanaman padi, kita cuma memastikan saliran dan pengairan selalu tersedia untuk dibekalkan supaya jadual penanaman sawah tidak terganggu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!