Hakim Ahmad Kamal akan dengar kes sita akaun Bersatu

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan semakan kehakiman kedua yang difailkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyita dua akaun banknya akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Peguam Rosli Dahlan, ketika mengesahkan perkara itu berkata, pada prosiding pada Khamis yang berlangsung secara dalam talian, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid membenarkan permohonan Bersatu agar kes itu didengar oleh Ahmad Kamal.

Rosli, yang mewakili Bersatu, juga berkata, memandangkan permohonan itu tidak dibantah oleh pihak Jabatan Peguam Negara, mahkamah menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya.

Untuk rekod, pada bulan Mei lepas, Ahmad Kamal membenarkan permohonan parti itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya dan perintah larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 29 Mei lepas, Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, telah memfailkan permohonan bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman itu melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Co dengan menamakan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan 20 individu lain sebagai responden

Bersatu mendakwa pada 19 April lepas, akaun CIMB dan AmBank milik parti itu telah disita tanpa membuat serahan perintah mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Parti itu mendakwa SPRM telah membuat kenyataan media pada 20 April lepas bahawa kedua-dua akaun telah disita pada 11 April namun agensi itu tidak pernah memaklumkan perkara tersebut kepada Bersatu pada tarikh terbabit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!