Mata wang lama palsu tidak beri kesan pada fakta Sejarah

Jisham menunjukkan mata wang syiling dan tampang Kesultanan Melayu Pahang pada program bicara@muzium 2023 anjuran Muzium Sungai Lembing di panggung wayang lama PCCL, Sungai Lembing pada Khamis.
Jisham menunjukkan mata wang syiling dan tampang Kesultanan Melayu Pahang pada program bicara@muzium 2023 anjuran Muzium Sungai Lembing di panggung wayang lama PCCL, Sungai Lembing pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Mata wang lama palsu tidak menjejaskan fakta sejarah negara sebaliknya hanya mendatangkan kerugian kepada peminat dan para pengumpulnya.

Penyelidik bebas dari Persatuan Numismatik Malaysia, Dr Jisham Awang Besar berkata, fakta sejarah di sebalik setiap mata wang lama itu tidak akan berubah dan tetap kekal kepada pengkaji sejarah.

Namun, menurutnya, tindakan memalsukan mata wang lama hanya memberi kesan kepada orang awam yang mungkin tidak lagi percaya dan yakin dengan sejarah itu sendiri.

"Bagi saya, mata wang lama palsu tidak akan mengubah fakta sejarah, kerana mata wang lama hanya di tiru semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

"Jadi, apabila kami pengumpul dan peminat membelinya (mata wang lama) merekalah yang rugi setelah mendapati ia palsu, sebagai contohnya duit 10 sen (yang asli) tahun 1971, kalau dulu dijual pada harga RM70 tetapi sekarang harga sehingga RM800.

"Kalau dari segi sejarah nilai 10 sen (1971) itu tidak terjejas. Kita mungkin boleh dapat nilai 10 sen, bentuk dan rupa sama pada tahun 1973. Tapi bagi pengumpul, peminat (mata wang lama) mereka mungkin anggap tahun itu (1971) rare, tapi dari sudut fakta sejarah ia tidak berubah (nilai dan pembuatan)," katanya.

Jisham
Jisham

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya program bicara@muzium 2023 anjuran Muzium Sungai Lembing di panggung wayang lama PCCL, Sungai Lembing pada Khamis.

Program terbabit dirasmikan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pahang, Amira Abdullah mewakili Exco Perpaduan, Pelancong dan Kebudayaan Pahang, Leong Yun Man.

Hadir sama, Ketua Muzium Sungai Lembing, Peterson Augustine Jadan dan Presiden Persatuan Numismatik Malaysia, Datuk Mohd Rahimi Rejab.

Jisham menambah, bagi mengelak terbeli wang palsu ini, peminat dan pengumpul perlu menambah ilmu dari pengkaji wang palsu bagi mengelakkan diri daripada tertipu.

Menjawab mengenai adakah terdapat mata wang emas Kesultanan Melayu Pahang diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab, Jisham menjelaskan setakat ini tidak pernah ada isu sedemikian.

Tambah beliau, berdasarkan dapatan yang dilakukan, sebaliknya mata wang emas dari kesultanan Melayu seperti Johor banyak dipalsukan.

"Bila kita cakap duit Kesultanan Melayu, duit emas daripada Johor banyak dipalsukan. Duit emas itu tidaklah mahal, kalau 20 tahun lalu kita boleh dapat RM600 untuk satu duit emas, tapi sekarang sudah mencecah sehingga RM4,000.

"Jadi, saya andaikan mungkin ada permintaan dan pembuatan itu di sekitar situ dan disebabkan itu mereka mencari pengumpulan," ujarnya mahu masyarakat lebih berhati-hati dengan duit lama yang dijual menerusi dalam talian kerana ia kemungkinan besar adalah palsu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!