Tipu rekod, lelaki inap hotel 5 bintang secara percuma 603 hari

Lelaki itu didakwa merasuah staf hotel berkenaan untuk menipu rekodnya bagi menyembunyikan jumlah tunggakan sebenar. - Foto Agensi
Lelaki itu didakwa merasuah staf hotel berkenaan untuk menipu rekodnya bagi menyembunyikan jumlah tunggakan sebenar. - Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Polis India melancarkan siasatan terhadap suspek penipu yang bersenang-lenang menginap di sebuah hotel bertaraf lima bintang secara percuma selama hampir dua tahun.

Media tempatan pada Khamis melaporkan lelaki tersebut dikenali sebagai Ankush Dutta turut memberi rasuah kepada kakitangan premis itu untuk menipu rekodnya.

"Dutta menempah sebuah bilik di Roseate House Hotel di New Delhi pada 30 Mei 2019 dan sepatutnya mendaftar keluar pada keesokan harinya.

"Tetapi, dia melanjutkan tempoh menginap selama 603 malam dan keluar pada 22 Januari 2021 tanpa membuat bayaran berjumlah 5 juta rupee (RM283,751). Akaun telah dipalsukan untuk menyembunyikan jumlah tunggakan sebenar," lapor akhbar Indian Express memetik kenyataan polis berhubung aduan diterima pada 24 Mei lalu.

Difahamkan, pengurus hotel itu turut mengemukakan aduan terhadap beberapa staf yang bersubahat untuk memanipulasi sistem perisian dalaman.

Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat.

Menurut peraturan hotel, kakitangan perlu membuat aduan kepada pegawai atasan jika mana-mana pengunjung berhutang lebih 50,000 rupee (RM2,837). - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!