'Bukan seperti filem Hollywood'
KIEV - Presiden Ukraine, Volodymyrr Zelenskyy memaklumkan kemajuan operasi serangan balas dilancarkan tentera mereka adalah lebih perlahan daripada rancangan asal.
“Ada pihak mahu kempen ini disegerakan. Ia bukan filem Hollywood dan mengharapkan hasil sekarang.
"Apa yang dipertaruhkan adalah nyawa orang,” tegasnya menerusi wawancara bersama BBC pada Rabu.
Menurutnya, operasi itu juga berdepan kesukaran kerana kawasan seluas 200,000 kilometer persegi dipenuhi perangkap samar periuk api.
Sebelum ini, Kiev mendakwa kempen serangan balas pertama yang ditunggu-tunggu selama tujuh bulan telah berjaya merampas semula lapan perkampungan yang diduduki tentera musuh.
Bagaimanapun, ia masih gagal melepasi barisan pertahanan utama Rusia setelah Moscow juga memperkukuhkan kubu mereka sejak awal bulan lalu.
Susulan operasi yang semakin perlahan, Kiev hanya dapat menguasai semula satu lagi perkampungan iaitu Piatykhatky.
Dalam perkembangan berkaitan, Zelenskyy mendakwa tentera Rusia merancang untuk melancarkan ‘serangan ganas’ ke atas kompleks nuklear Zaporizhzhia yang paling dibimbangi negara antarabangsa.
“Perkhidmatan risikan kami menerima maklumat tentang plot tersebut yang berpotensi mencetuskan kebocoran radiasi," katanya.
Kremlin menerusi kenyataan balas bagaimanapun menolak dakwaan itu yang disifatkan sebagai satu lagi pembohongan untuk menutup kelemahan Kiev setelah operasi serangan balas mereka gagal menunjukkan kemajuan memberangsangkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!