'YB bagaimana saya boleh secekal anda?'

Masiung (kanan), Shahelmey (tengah) ketika Dialog Siswa yang dihoskan oleh Safwan Sawi di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu hari ini. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Masiung (kanan), Shahelmey (tengah) ketika Dialog Siswa yang dihoskan oleh Safwan Sawi di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu hari ini. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Bersedia untuk dicaci, dimaki dan difitnah antara tip yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah untuk mahasiswa yang ingin berkecimpung dalam politik.

Beliau berkongsi tip itu menerusi platform Dialog Siswa bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya merangkap Menteri Kerja Raya yang diadakan di Dewan Al Bukhari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah berkata, tip yang pertama mahasiswa yang berminat dalam bidang politik harus bersedia dengan cabaran dalam politik.

"Kita kena bersedia dalam politik ini banyak liku-liku terlalu banyak cabaran, cabaran pertama kita kena bersedia bahawa kita ini dicaci, dimaki dan difitnah orang.

"Seribu kebaikan kita buat, satu kali kita buat salah, yang satu kali salah itu yang akan diangkat," katanya menerusi sesi soal jawab bersama mahasiswa yang hadir pada program itu pada Khamis.

Soalan itu diutarakan oleh Rika Rahayu daripada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang meminta perkongsian tip supaya mahasiswa dan mahasiswi bersungguh-sungguh belajar seperti ahli politik.

Tip seterusnya yang dikongsikan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu ialah mahasiswa yang berminat memasuki bidang politik harus menanam rasa cinta kepada politik.

"Kalau tidak ada rasa cinta kepada politik, adik akan tidak bermaya untuk melawan cabaran, tidak akan bermaya untuk merancang masa depan politik.

"Sekarang cita-cita sudah jelas, mahu jadi Perdana Menteri. Sama ada tercapai atau tidak, mungkin paling kecil pun jadi adik boleh menjadi seorang wakil rakyat, jadi tidak salah untuk bercita-cita besar kerana orang kata, sekurang-kurangnya boleh menjadi wakil rakyat.

"Jadi kena tanamkan minat politik itu dalam hati, yang kedua jangan malu dan segan bertanya kepada rakan, bertanya kepada orang lama dalam politik," katanya.

Selain itu, Masiung berkata, mahasiswa yang berminat dalam politik harus bermula dengan persatuan kerana di situlah bermulanya kepimpinan dalam diri.

"Sekarang ini banyak persatuan yang diwujudkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang bertujuan untuk menggilap bakat daripada awal untuk menjadi pemimpin peringkat persekutuan.

"Itu asasnya, kalau di peringkat persatuan pun malas atau tidak ada saya untuk berkecimpung dalam persatuan, jangan mimpi akan boleh naik di masa akan datang.

"Saya berani berkata demikian kerana saya berada di sini juga bermula daripada persatuan, saya bermula dengan Persatuan Tingkatan Enam, Persatuan Pencinta Alam, persatuan di gereja dan di sana bakat itu digilap serta mengasah bakat untuk menjadi pemimpin.

"Bagaimana kita mahu memimpin satu negara, satu negeri atau daerah, sedangkan dalam kelompok kecil pun kita tidak boleh memimpin," katanya.

Sebelum itu, Dialog Siswa kali ini dihoskan oleh Safwan Sawi dan merupakan edisi ketiga dibawa khas ke Sabah selepas Sinar Harian menampilkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sabah cuba kurangkan NRW atasi masalah air

'YB bagaimana saya boleh secekal anda?'

Cadangan bina rumah transit bantu pelajar IPT

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!