Cadangan bina rumah transit bantu pelajar IPT
SHAH ALAM - Kerajaan Sabah dicadangkan supaya membina rumah transit untuk pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Program Perumahan Rakyat (PPR).
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, rumah itu dibina bagi mengurangkan beban pelajar serta ibu bapa yang terpaksa menanggung kos rumah sewa yang semakin meningkat pada masa kini.
Katanya, mereka dibenarkan tinggal di rumah transit itu hanya dua tau tiga tahun mengikut tempoh pengajian masing-masing.
"Selepas kamu tamat pengajian maka serahkan kunci dan kosongkan rumah itu untuk beri peluang kepada pelajar lain.
"Saya rasa dengan cara tersebut tiada lagi isu minta sambung atau merayu untuk tinggal disitu sepertimana yang berlaku kepada penyewa PPR," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Dialog Siswa yang diadakan di Dewan Al Bukhari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu, Sabah.
Program tersebut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada jam 8.30 malam, Khamis.
Selain Masiung, Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya turut dijemput sebagai panelis dan ia dikendalikan oleh anak tempatan, Safwan Sawi.
Tambah Masiung, baru-baru ini timbul isu berhubung rumah PPR yang dimiliki oleh LPP yang disewakan kepada rakyat yang berpendapatan RM750 hingga RM3,000.
"Kami telah beri peringatan kepada penyewa bahawa tempoh had maksimum iaitu 10 tahun telah tamat dan minta kerjasama untuk keluar supaya dapat beri peluang orang lain.
"Tapi malangnya, apabila bagi peringatan ia jadi isu utama pula di Sabah ini seolah-olah kita bertindak kejam," ujarnya.
Beliau juga merayu kepada kerajaan Sabah melalui Ketua Menteri untuk sampaikan hasrat tersebut di peringkat kabinet.
"Diharapkan kerajaan dapat merancang atau sediakan peruntukan khas untuk pembinaan rumah transit kepada pelajar," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Sabah cuba kurangkan NRW atasi masalah air
'YB bagaimana saya boleh secekal anda?'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!