Sabah potensi jadi negeri selesa untuk didiami

Dialog Siswa Sinar Harian bersama Timbalan Ketua Menteri III / Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya (tengah) dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah, dihoskan oleh Safwan Sawi berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu pada Khamis. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Dialog Siswa Sinar Harian bersama Timbalan Ketua Menteri III / Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya (tengah) dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah, dihoskan oleh Safwan Sawi berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu pada Khamis. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A
KOTA KINABALU - Sabah berpotensi untuk menjadi sebuah negeri yang selesa untuk didiami dalam tempoh 10 tahun akan datang jika jaringan sistem membabitkan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perumahan dalam keadaan baik.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, Sabah dalam keadaan yang strategik dari sudut geografi selain mempunyai keindahan semula jadi serta kekayaan sumber alamnya sama ada yang ada ketika ini atau bakal diterokai pada masa hadapan.

"Namun untuk sebuah negeri menjadi sebuah 'livable state' ada beberapa perkara yang perlu dicapai. Pertama, keadaan infrastruktur yang baik dan selamat termasuklah jalan raya, air dan elektrik.

"Dengan adanya kombinasi jaringan infrastruktur yang baik, lengkap dan selamat, sistem pendidikan yang baik, sistem kesihatan yang baik dan sistem perumahan yang baik, kita akan capai keadaan sebagai 'livable state'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu pada Khamis.

Sehubungan itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, untuk tempoh 10 tahun akan datang merupakan jangka masa yang sesuai untuk ke arah mencapai perancangan terbabit.

"Kita ketika ini sedang meningkatkan pembinaan atau menaik taraf sistem jalan raya yang ada di Sabah dan apabila saya kata tentang jalan raya, ia terbahagi kepada beberapa kategori termasuk jalan pertanian, jalan luar bandar atau jalan daerah atau jalan majlis perbandaran.

"Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri sedang menaik taraf jalan persekutuan yang dipanggil Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama mempunyai 35 pakej, fasa kedua antara Tamparuli ke Ranau dan fasa ketiga dari Kimanis ke Kalabakan yang belum lagi dilaksanakan sepenuhnya namun fasa pertama dalam pelaksanaan.

"Jadi dengan adanya projek Lebuhraya Pan Borneo ini nanti yang boleh siap dalam tempoh jangka masa 10 tahun dari sekarang ini maka ia akan membantu mencetus pertumbuhan ekonomi di Sabah," katanya.

Sebelum itu, Dialog Siswa kali ini dihoskan oleh Safwan Sawi merupakan edisi ketiga dibawa khas ke Sabah selepas Sinar Harian menampilkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!