Pilih kestabilan politik atau semangat bangsa
BAHANG pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri semakin terasa. Minggu ini menyaksikan dua negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kelantan pada 22 Jun dan Selangor sehari selepas itu.
Pulau Pinang dijangka membubarkan DUN pada 28 Jun, diikuti Negeri Sembilan pada 30 Jun, manakala Kedah dan Terengganu dijangka turut membubarkan DUN akhir bulan ini.
Dalam tempoh itu juga, gabungan parti-parti politik dijangka memuktamadkan agihan kerusi masing-masing, seterusnya menetapkan calon.
Berdasarkan kiraan kasar, tempoh 60 hari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah bermula 22 Jun sehingga 21 Ogos. Jika mengambil kira andaian SPR akan menetapkan tarikh pengundian dan penamaan calon pada hari yang sama untuk enam negeri, tempoh tersebut adalah amat singkat.
PRN kali ini tidak sama dengan situasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Berikutan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, kemungkinan kebanyakan kawasan yang bertanding melibatkan dua penjuru antara PH-BN serta Perikatan Nasional (PN).
Melainkan ada kemungkinan terdapat calon Bebas yang ingin mencuba nasib atau ada calon lain yang sengaja untuk memecah undi. Tolak tepi calon Bebas, sekiranya berlaku pertembungan dua penjuru, adakah ia memberi manfaat kepada pengundi?
Pengundi akan lebih mudah membuat pilihan kerana tidak perlu ‘pening kepala’ untuk menilai calon yang ramai. Namun dari satu sudut, pengundi perlu membuat dua keputusan besar sama ada mahu kestabilan politik negara atau memastikan semangat bangsa terus terjamin.
Di atas kertas, gabungan PH-BN lebih tertumpu kepada agenda menstabilkan politik Malaysia supaya ekonomi negara dapat dipulihkan, sementara PN pula lebih fokus kepada agenda penyatuan bangsa.
Disebabkan itu, ada yang menjangkakan pengundi akan membuat pilihan kepada parti yang bertanding dan bukan calon.
Menampilkan nama-nama besar juga belum tentu boleh menjadi ‘senjata' kepada parti politik yang bertanding. Lebih malang, jika tersilap langkah boleh tewas di tangan calon tidak ternama.
Namun, itu hanya andaian politik. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada PRN kali ini. Sebagai sebuah negara demokrasi, pengundi adalah penentunya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!