Sistem perlindungan sosial: Adakah memadai atau perlu reformasi?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUDAH lumrah kehidupan dan jangan dilupakan bahawa hidup ini ibarat roda berputar. Adakalanya berada di atas, kala lain pula berada di bawah.

Orang senang, yang berada dan mempunyai segala-galanya juga boleh jatuh susah dan orang yang susah pula boleh berubah menjalani kehidupan selesa.

Hakikatnya, setiap daripada kita sebenarnya terdedah pelbagai risiko dalam setiap fasa kehidupan. Risiko bermaksud satu keadaan yang mungkin mendatangkan bahaya atau kerugian.

Dalam konteks rakyat, sistem perlindungan sosial yang benar-benar menyeluruh akan memastikan setiap individu pada setiap peringkat hidupnya menerima bantuan dan sokongan mengikut risiko yang dihadapi.

Risiko yang lazim dihadapi antaranya hilang pekerjaan, dibelenggu sakit, mengalami kemalangan atau tidak lagi dapat bekerja kerana faktor umur.

Dalam menghadapi risiko bahaya dan kerugian itu, perlu ada komponen insurans sosial di bawah sistem perlindungan sosial untuk meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap pelbagai musibah yang mungkin melanda.

Di Malaysia, insurans sosial tersedia melalui skim-skim di bawah pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun kerajaan juga sedang mempertimbangkan pelbagai lagi skim insurans sosial untuk memastikan tiada tercicir.

Di negara kita, rata-rata golongan yang tercicir daripada insurans sosial adalah mereka yang tidak mencarum dalam KWSP dan Perkeso atas faktor tidak bekerja atau bekerja dalam sektor tidak formal seperti suri rumah, peniaga, bekerja sendiri dan pekerja ekonomi gig.

Ramai dalam golongan berkenaan secara tiba-tiba hilang punca pendapatan dan terjerumus ke dalam belenggu kemiskinan ketika pandemik Covid-19 melanda sebelum ini.

Keadaan itu sekali gus turut mendedahkan masih ada kekurangan dalam sistem perlindungan sosial di Malaysia.

Kelompok berkenaan ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana bukan sahaja tiada pendapatan, tetapi juga tiada bantuan atau sokongan mencukupi daripada sistem perlindungan sosial sedia ada.

Sehubungan itu, adalah jelas bahawa telah tiba masanya untuk kita melaksanakan reformasi menyeluruh ke atas sistem perlindungan sosial di Malaysia.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sistem perlindungan sosial adalah satu pakej dasar dan program kerajaan yang dirangka untuk mengurangkan kerentanan dan mengelakkan kemiskinan sepanjang hidup seseorang individu.

Sistem perlindungan sosial yang baik, mengikut ILO adalah sistem yang meliputi sembilan jenis keperluan perlindungan, iaitu kanak-kanak, kekurangan upaya, kehilangan pekerjaan, kemalangan tempat kerja, kehamilan, jatuh sakit, pemeriksaan kesihatan, orang tua dan kematian ketua keluarga.

Selain itu, terdapat tiga komponen utama (3P) dalam sistem perlindungan sosial.

Komponen pertama ialah perlindungan - untuk memastikan keperluan asas dipenuhi menerusi mekanisme seperti bantuan tunai.

Komponen kedua ialah pencegahan - untuk meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap kejutan ekonomi menerusi penyediaan insurans sosial seperti menerusi Perkeso dan KWSP.

Komponen ketiga ialah penggalakan - untuk meningkatkan peluang ekonomi dan potensi individu menerusi program yang membantu untuk mereka dapat pekerjaan tetap.

Sebenarnya, reformasi sistem perlindungan sosial yang diperlukan Malaysia bukan perkara baharu kerana telah disarankan oleh para pakar sejak 2018 lagi, yang tinggal hanyalah langkah untuk melaksanakannya.

Pelaksanaan yang tertangguh menyebabkan sistem perlindungan sosial Malaysia masih perlu diperbaiki dan agak ketinggalan berbanding negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Ternyata, reformasi sistem perlindungan sosial di Malaysia tidak boleh ditangguh lagi, sebaliknya perlu diusahakan pelaksanaan dalam masa terdekat.

Kita perlu sedar bahawa kerja keras sahaja tidak semestinya mampu keluarkan seseorang itu daripada kepompong kemiskinan kerana masih ada banyak faktor yang boleh membataskan usaha untuk menjalani kehidupan selesa.

Kerja keras menjamin kehidupan berkualiti?

Faktor-faktor seperti peluang pendidikan, status sosial keluarga dan lokasi boleh menyebabkan mana-mana individu sukar dapat sama ada gaji mencukupi, modal memulakan perniagaan atau peluang ekonomi adil walaupun sudah berhempas pulas bekerja.

Perlu diingat kanak-kanak dan orang tua juga golongan perlu dilindungi kerana mereka tidak boleh bekerja.

Dalam aspek ini, sistem perlindungan sosial menyeluruh akan memberi penekanan kepada bantuan bersifat tunai yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dan disasarkan kepada golongan miskin.

Pada masa ini kerajaan menyediakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) - atau dahulunya dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada mereka kurang berkemampuan untuk hadapi cabaran kos sara hidup.

Dalam hal ini, tanggungjawab kerajaan dalam membantu golongan itu tidak seharusnya dianggap sebagai membina sikap terlalu bergantung kepada bantuan atau mendorong sikap malas bekerja.

Ini kerana kita sudah melihat sendiri kekurangan sistem perlindungan sosial di Malaysia sewaktu pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai ditimpa musibah dan tidak diberi sebarang bentuk perlindungan.

Justeru, kerajaan terpaksa memperkenalkan pelbagai jenis bantuan baharu seperti subsidi upah, diskaun bil elektrik dan moratorium bayaran balik pinjaman berikutan tiada sistem perlindungan sosial menyeluruh ketika krisis kesihatan itu melanda.

Namun, perlu diingat kebanyakan bantuan itu hanya bersifat sementara dan mengeruhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan yang sudah pun dibebankan dengan bantuan tunai sedia ada bagi golongan miskin.

Bagi memastikan usaha menangani kekurangan yang ada dalam sistem perlindungan sosial di Malaysia, kita perlu bersikap lebih terbuka ketika membicarakan mengenai caruman kerana banyak manfaatnya untuk rakyat ketika kehidupan berdepan kesukaran.

Pro-bantuan tidak semestinya pro-subsidi

Di negara ini, ada sistem subsidi, namun adakah sistem subsidi sedia ada ini sistem yang kalis waktu, mampan dan mampu membantu kita ketika susah?

Sebenarnya, subsidi yang dinikmati rakyat Malaysia boleh dikatakan sebagai suatu jenis perlindungan sosial yang membantu dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat, namun manfaatnya juga dinikmati isi rumah yang bukan golongan disasarkan.

Sekian lama, subsidi menjadi beban tanggungan kerajaan dan pengagihannya berdepan isu ketirisan yang terlalu tinggi, termasuk dalam subsidi bahan api dan penggunaan elektrik.

Kita dapat lihat kereta asing ‘menikmati’ subsidi di stesen minyak di kawasan sempadan, manakala di rumah pula subsidi dinikmati juga oleh mereka yang mampu memiliki pelbagai perkakas elektrik dengan kadar penggunaan elektrik yang tinggi.

Subsidi seperti ini mungkin dapat membantu menurunkan tekanan kos sara hidup, tetapi tidak dapat membantu sekiranya rakyat menghadapi kesusahan dalam kehidupan.

Ke arah perlindungan sosial lebih menyeluruh

Untuk memastikan pembangunan sistem perlindungan sosial lebih berdaya tahan bagi masa hadapan, penulis menyeru sifat kebersamaan dan kesefahaman dalam diri kita semua.

Sifat kebersamaan dan kesefahaman perlu bagi membantu seluruh rakyat Malaysia terutama golongan rentan mendapat akses kepada peluang yang lebih baik bagi melindungi dan meningkatkan kesejahteraan hidup masing-masing.

Sistem perlindungan sosial lebih menyeluruh diperlukan agar semua rakyat Malaysia dapat menerima bantuan dan sokongan pada saat mereka memerlukan.

Semua isi rumah tanpa mengira pendapatan seharusnya sama-sama membantu mereka yang hilang pekerjaan, jatuh sakit, mengalami kemalangan, warga tua dan yang kehilangan ketua keluarga agar kesejahteraan golongan itu terus terpelihara.

*Insan Bersubsidi, Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!