Gesa sekat perpindahan pemain ke Arab Saudi
LEGENDA Manchester United, Gary Neville menggesa pihak Liga Perdana menyekat perpindahan besar-besaran pemain ke Arab Saudi bagi memastikan ‘sebarang integriti tidak terancam’.
Malah, Neville mempersoalkan transaksi dilakukan dalam kalangan kelab Liga Pro Saudi bagi mendapatkan pemain yang beraksi untuk Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Liga Perdana sepatutnya meletakkan sekatan segera atas setiap perpindahan ke Arab Saudi bagi memastikan integriti permainan tidak dirosakkan.
“Semakan lebih teliti perlu dilakukan ke atas setiap transaksi kelab bagi memastikan kesesuaian. Jika ia melalui proses itu, jelas perpindahan boleh dibuka semula.
“Tetapi saya percaya pada masa ini perpindahan harus dihentikan sama ada terdapat urusan perpindahan menguntungkan yang tidak wajar,” kata Neville.
Gesaan Neville itu hadir apabila beberapa kelab Liga Pro Saudi membawa masuk bintang ternama Eropah seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan terbaharu, N'Golo Kante.Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi yang memiliki Newcastle United mengesahkan mengambil alih empat kelab terkemuka Liga Pro Saudi termasuk Al-Nassr yang menandatangani Ronaldo pada bulan Januari lalu.
Kante pula mengikut jejak langkah Benzema menyertai Al-Ittihad, manakala trio Chelsea iaitu Kalidou Koulibaly, Edouard Mendy dan Hakim Ziyech, masing-masing dijangka melengkapkan perpindahan ke Al-Hilal, Al-Ahli serta Al-Nassr.
Pemain tengah Wolverhampton Wanderers, Ruben Neves juga semakin hampir memuktamadkan perpindahan ke Al-Hilal dengan rekod bayaran kelab £47 juta (RM278 juta).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!