Bicara Cilik Rasuah Busters pupuk jiwa kepimpinan

Dari kiri: Firdaus, Nurhayati
Dari kiri: Firdaus, Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Program Bicara Cilik Rasuah Busters yang melibatkan 28 buah sekolah dapat memupuk jiwa kepimpinan melalui bakat, keberanian dan keyakinan oleh pelajar daripada peringkat sekolah rendah bagi melahirkan generasi bebas rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pendidikan secara holistik dalam kalangan generasi muda dapat mencorak masa hadapan negara dengan lebih baik sekali gus bersih daripada budaya rasuah.

Katanya, menghapuskan rasuah memerlukan transformasi budaya secara holistik dan pendidikan adalah ruang paling efektif untuk mendapatkan hasil yang positif.

“Program ini merupakan platform pembangunan sahsiah dan kemahiran sosial bagi menjana pemikiran serta kematangan pelajar menghadapi realiti kemusnahan negara atau keluarga akibat rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Nurhayati, pendedahan awal kepada murid sekolah rendah bagi memastikan generasi muda tidak terjerumus dalam sebarang bentuk salah laku rasuah tanpa disedari.

Menurut beliau, pengalaman atau pengetahuan program itu bakal memberi inspirasi kepada pelajar dan pemimpin di luar sana untuk membangunkan generasi bermaklumat serta mampu mempersiapkan diri berdepan cabaran yang akan menggugat integriti mereka.

“Program ini bagi mempersiapkan pertahanan insaniah yang ingin #RasuahBusters bina di dalam jiwa generasi akan datang.

“Bicara Cilik Rasuah Busters bakal menjadi platform pelajar untuk menemukan formula bagaimana masa hadapan Malaysia ingin digerakkan dengan #NilaiMoralKarakterBangsa iaitu bebas daripada rasuah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, sebagai menyokong program tersebut, pihaknya akan menaja hadiah kepada para pemenang dan sumbangan buku kepada pihak sekolah.

“Pemberian hadiah buku yang berkaitan motivasi, bacaan umum dan juga bahan ilmiah dapat dimanfaatkan oleh para pelajar serta pihak sekolah.

“Program ini juga merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kami bagi memastikan para pelajar dan pihak sekolah mendapat manfaat bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!