'Terengganu jadi Kelantan nombor dua jika BN kalah' - Ahmad Said

Ahmad (empat dari kiri) ketika menyempurnakan pelancaran jentera PRN BN Terengganu di Dataran Seri Limbat di Marang pada Khamis malam.
Ahmad (empat dari kiri) ketika menyempurnakan pelancaran jentera PRN BN Terengganu di Dataran Seri Limbat di Marang pada Khamis malam.
A
A
A

MARANG - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa Terengganu bakal menjadi Kelantan 'nombor dua' sekiranya BN tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Ujarnya, perumpamaan itu diberikan terutama melibatkan aspek pembangunan yang didakwa tidak dibangunkan Pas sepanjang pemerintahan sekali gus tidak membantu dalam menjana ekonomi rakyat di negeri itu.

"Maknanya tiada pembangunan tiada apa... orang Kelantan tak apa (mereka) boleh cari kerja di Kuala Lumpur.

"Tapi di Terengganu, orang Terengganu tak berapa keluar. Jadi mangsalah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah perdana Gelombang Biru 2.0 dan menyempurnakan pelancaran jentera PRN BN Terengganu di Dataran Seri Limbat di sini pada Khamis malam.

Ahmad memberitahu, beliau mengharapkan 20 peratus undi daripada pengundi BN yang telah diberikan kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu 'dikembalikan' semula kepada parti itu.

Ujar beliau, ia penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan oleh BN sebelum ini dapat diteruskan dan dilaksanakan di Terengganu.

"Baru-baru ini rakyat telah mengundi dan beri Pas menang 8-0 (PRU15), apa faedah rakyat dapat.

"Tiada menteri dari Terengganu, tiada timbalan menteri dari Terengganu, tiada peruntukan untuk ahli Parlimen Terengganu. Siapa rugi? Rakyat rugi, tidak ada peruntukan pembangunan disalurkan. Nak bayar gaji pun menteri besar menghadap PM (Perdana Menteri).

"Nak banjir (bantuan) pun kerajaan pusat bagi. Sebab itu kita mesti selaras antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

"Kalau berasingan akan timbul masalah dari segi peruntukan dan sebagainya. Dia 'itik', kita 'ayam', mana boleh. Itik dengan itik, ayam dengan ayam baru 'jadi'," ujarnya bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan harapan supaya Terengganu tidak berdepan masalah dialami Kelantan terutama melibatkan isu bekalan air yang disifatkan sebagai tidak berkesudahan.

"Kelantan air 'kuning' berapa puluh tahun dah... 30 tahun lebih tak selesai tak ada masalah orang Kelantan.

"Undi luar anak Kelantan balik kampung balik undi Pas belake (semua). Orang BN ramai undi Pas (di Terengganu) sebab dapat duit.

"Contoh, saluran satu, saluran dua yang 60, 50 tahun ke atas ni, 80 peratus undi Pas. Kita harap pengundi UMNO sedarlah perkara ni..jangan digula-gulakan," ujarnya.

Terengganu bersama lima negeri lain iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan akan menghadapi PRN tidak lama lagi selepas masing-masing memutuskan untuk tidak membubarkan DUN pada PRU15 lalu.

Setakat ini hanya Terengganu belum memuktamadkan tarikh pembubaran DUN manakala DUN Kelantan telah dibubarkan pada 22 Jun, Selangor (23 Jun), Pulau Pinang (28 Jun), Kedah (28 Jun) dan Negeri Sembilan (30 Jun).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!