Vaksin: Lokman Adam lepas bebas kes sebar tuduhan palsu

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu tuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin dua tahun lalu.

Hakim, Nor Hasniah Ab Razak memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada peringkat akhir kes pendakwaan.

“Pihak pendakwaan gagal mengasaskan satu kes prima facie terhadap tertuduh.

"Mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapi dan wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Dalam kes ini, Lokman diwakili peguam, Logen Eskander manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Lokman mengucapkan terima kasih kepada peguamnya di atas kejayaan tersebut.

"Keputusan ini memberi makna bahawa saya tidak menyalahi fakta ketika memberi keterangan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam dan hakim di atas keputusan ini," katanya.

Pada 1 Oktober 2021, Lokman, 50, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan applikasi Facebook menggunakan profil akaun ‘Lokman Adam’ dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, iaitu menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual.

Ia mengenai kematian pegawai polis, Asisten Komisioner (ACP) Shahriman yang adalah Ketua Cawangan Khas Polis Pahang meninggal dunia beberap saat selepas suntikan kedua vaksin

Kesalahan dilakukan pada 9 April serta dilihat pada 11 April 2021 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!