MB Selangor kecewa pembangkang buat tuduhan tidak berasas
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor kecewa dengan sikap pembangkang yang hanya membuat pelbagai tuduhan dan sentimen bagi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kempen 'serangan' mula dilancarkan pihak pembangkang kepada pentadbiran kerajaan negeri yang tidak menjelaskan tentang kebenaran, sebaliknya hanya menimbulkan permusuhan dan kemarahan.
"Ini satu perkara yang sangat tidak wajar (kerana) kalau hendak bertarung (PRN Selangor), berdepan dan keluarkan lah apa pelan atau rancangan dan bukan serangan tidak berasas," katanya ketika berucap semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam dan Pemimpin Masyarakat di Auditorium, Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Jumaat.
Amirudin berkata, kerajaan negeri melalui kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan pemutihan sekolah agama persendirian mengikut landasan peraturan ditetapkan bukan seperti didakwa pembangkang kononnya ingin menutup institusi berkenaan.
"Kita ada ratusan sekolah agama yang tidak ditutup pun, tetapi mereka berucap di Parlimen, bercakap di mana-mana, ulang dalam kenyataan (kerajaan Selangor mahu tutup sekolah agama persendirian)," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, pihak terbabit perlu memahami Islam dengan lebih jelas tentang usul-Fiqh untuk memahami sesuatu perkara terlebih dahulu.
"Bila sebut usul-Fiqh, pertamanya kita jaga Islam dan keduanya jaga nyawa.
"Kalau sekolah terbakar, tidak selamat dan tiada tempat (laluan) keluar, dinding runtuh, tempat tidak selesa (selamat) akhirnya berlaku kematian disebabkan kecelakaan, maka bagaimana kita hendak bertanggungjawab?" tegas beliau.
Amirudin berkata, pihak terbabit sebenarnya tidak memikirkan tanggungjawab sebaliknya hanya mahu menimbulkan kemarahan rakyat di negeri ini.
Jelas beliau, sebagai sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi, segala hujah dan kenyataan yang dibuat mestilah mempunyai fakta tepat untuk meyakinkan rakyat.
"Pihak yang membuat tuduhan ini kononnya berpengalaman untuk ambil alih kerajaan negeri, tetapi tidak ada rasa tanggungjawab, sebaliknya bagi mereka paling penting menimbulkan kemarahan," jelasnya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, kerajaan Selangor kecewa dengan pihak tertentu yang menyatakan kerajaan negeri tidak memberikan apa-apa jawapan jelas bagi membantu menyelesaikan masalah sedang dihadapi pengusaha sekolah agama persendirian.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kerajaan Selangor telah mengarahkan kesemua 12 pihak PBT di negeri itu untuk memulakan proses pemutihan sekolah agama persendirian.
Jelasnya, kesemua wakil dan pengusaha sekolah agama persendirian di negeri Selangor juga telah dijemput untuk berbincang dan diberi penerangan berkenaan isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!