'Syukur ramai pihak bantu selepas nasib kami ditularkan'

Siti (kanan) ketika menceritakan pengalaman tinggal dalam kereta bersama suaminya kepada Salamiah ketika ditemui di sini pada Jumaat
Siti (kanan) ketika menceritakan pengalaman tinggal dalam kereta bersama suaminya kepada Salamiah ketika ditemui di sini pada Jumaat
A
A
A

TEMERLOH - "Syukur ramai pihak membantu selepas nasib kami ditularkan di laman sosial baru-baru ini," kata Siti Siti Azeryna Daud, 39, selepas dia dan suaminya, Ab Razak Ab Aziz, 42, menjadikan kereta Proton Wira milik mereka sebagai 'rumah' di pelbagai tempat dan terbaharu di Lebuhraya Karak sejak 10 bulan yang lalu.

Ujar ibu kepada tiga cahaya mata berusia lapan, empat dan tiga tahun itu, dia dan suaminya akan mencari rumah sewa di Karak untuk meneruskan kehidupan selain mendapatkan pekerjaan tetap demi masa depan keluarga mereka.

Sejak Rabu, Siti dan tiga anaknya ditempatkan di Rumah Anjung Kasih Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh apabila suaminya perlu menjalani rawatan berikutan ketumbuhan di leher.

"Suami (Ab Razak) akan dibenarkan keluar pada hari ini (Jumaat) sebelum mendapat tarikh pembedahan.

"Saya dan suami tidak sabar mencari rumah sewa di sana (Karak) dan berharap selepas ini segalanya dapat berjalan lancar.

"Ada yang sudah berjanji untuk membantu mendapatkan pekerjaan untuk suami dan saya sendiri pun akan cari pekerjaan untuk meringankan beban suami," kata Siti lagi.

Dia ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor di sini pada Jumaat yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Namun Siti mengakui trauma dan tertekan kerana ada beberapa individu yang menghantar mesej kurang baik terhadap dirinya.

"Saya kuatkan diri dan anggap ini dugaan kerana sepanjang ikut suami tinggal dalam kereta sudah banyak penghinaan saya dapat.

"Selama ini, saya setia dan tak mengeluh kerana saya tahu suami sudah banyak bersusah payah demi mencari rezeki untuk kami anak-beranak dan tak kan suami susah, saya nak tinggalkan dia," tambah Siti lagi yang berasal dari Negeri Sembilan.

Sebelum ini, kesempitan hidup Ab Razak yang berasal dari Melaka tular di media sosial sejak Rabu.

Ia mendapat perhatian warganet susulan perkongsian pengguna Facebook, Edi Arjuna Pencerita.

Berikutan kesempitan hidup, Ab Razak terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dan sanggup bekerja sebagai mekanik jalanan dengan kadar upah yang tidak seberapa.

Ia selepas bengkel miliknya ditutup kerana tindakan segelintir pelanggan yang gagal melunaskan hutang mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!