United enggan mengalah 'pikat' Kane
KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United enggan mengibar bendera putih dalam usaha untuk 'melamar' pemain sensasi, Harry Kane.
Penyerang itu dilaporkan mahu kekal bersama Tottenham Hotspur untuk bekerjasama dengan pengendali baharu, Ange Postecoglou.
Bagaimanapun Spurs yang tidak akan beraksi di peringkat Eropah musim depan, pengkritik dan peminat menyuarakan bahawa Kane perlu keluar dari kelab itu dan mencari cabaran baharu.
United yang dibimbing Erik ten Hag gigih berusaha mendapatkan khidmat Kane dan dikatakan memujuk pemain berusia 30 tahun itu untuk memohon perpindahan daripada kelabnya.
Permohonan tersebut dilihat menjadi 'talian hayat' buat United untuk mendapatkan Kane pada jendela perpindahan akan datang.
Red Devils perlu meletakkan tanda harga tinggi untuk meyakinkan Spurs bagi menjual Kane kerana kontranya akan berakhir pada Jun 2024.
United bagaimanapun perlu berjimat dalam berbelanja kerana Red Devils hanya mampu menawarkan maksimum 80 juta pound (RM474.3 juta) untuk mendapatkan Kane.
Namun dilaporkan Spurs tidak mungkin melepaskan Kane pada harga tersebut.
Perpindahan itu hanya akan menjadi kenyataan jika Kane sendiri yang meluahkan hasrat untuk keluar dari kelab dan Spurs akan menurunkan harga seperti yang diminta oleh United.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!