'Simpang maut' Jalan Teluk Piah
KUALA SELANGOR - Penduduk menganggap Persimpangan Jalan Teluk Piah di sini sebagai 'simpang maut' berikutan kekerapan berlakunya kemalangan jalan raya.
Keadaan itu berlaku berikutan simpang empat yang dibina sejak puluhan tahun itu tidak lurus hingga mengundang risiko kemalangan terutama pada waktu puncak.
Seorang penduduk, Hamdan Abd Hamid, 52, berkata, simpang jalan itu sememangnya mengelirukan pengguna jalan raya terutama bagi mereka yang pertama kali melalui jalan berkenaan.
"Simpang ini sibuk dan menjadi laluan utama dari semua arah termasuk ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah.
"Saya sendiri akui terpaksa berhati-hati menunggang motosikal untuk hantar anak setiap kali melintas jalan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Hamdan berkata, meskipun terdapat penghadang jalan diletakkan di laluan itu, namun ia tetap mengundang bahaya dan risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.
"Saya menetap di sini sejak lahir lagi dan kalau diikutkan laluan ini memang kerap berlaku kemalangan hingga membawa maut," ujarnya.
Wan Mohd Salleh, 48, berkata, kekerapan kemalangan di kawasan itu terlalu tinggi dan beberapa kali melihat kemalangan di depan mata.
"Saya tinggal berdekatan dengan simpang empat ini dan pernah beberapa kali menyaksikan sendiri kenderaan bertembung.
"Malah, jika tak lihat sekali pun, saya sering terdengar bunyi rempuhan kenderaan dari luar rumah dan sebaik tiba di lokasi kejadian didapati mangsa (terlibat kemalangan) cedera parah hingga ada yang meninggal dunia," kata Wan Mohd yang kerap menggunakan laluan itu untuk menjalankan urusan seharian.
Seorang lagi penduduk, Norzila Zainal, 56, berkata, masalah itu bukan perkara baharu dihadapi pengguna jalan raya, sebaliknya isu berpanjangan.
Katanya, sikap segelintir pengguna memandu laju juga membahayakan pengguna lain terutama yang ingin memasuki simpang.
"Malah apa yang dikesalkan ada pengguna jalan raya membuat pusingan U berhampiran penghadang jalan menyebabkan kesesakan dan kemalangan," jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor turut meninjau permasalahan dihadapi penduduk.
Juwairiya berkata, perkara itu sering dibangkitkan beliau dan telah mengutarakan permasalahan penduduk semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan melalui JKR Daerah Kuala Selangor.
"Saya dimaklumkan JKR, jalan ini sesak dengan aliran trafik sekitar 12,000 hingga 13,000 pengguna kenderaan setiap hari dan jumlah itu meningkat sehingga 70 peratus semasa musim perayaan," ujarnya.
Katanya, sebanyak RM14.6 juta diperuntukkan bagi projek menaik taraf jalan itu pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
"Bagaimanapun, kita telah terima peruntukan permulaan sebanyak RM500,000, namun kos itu tidak mencukupi untuk kerja-kerja menaik taraf keseluruhan jalan raya ini.
"Kita berusaha melaksanakan pelan jangka pendek dengan pelaksanaan projek menaik taraf pada suku ketiga tahun ini membabitkan pelebaran jalan tiga meter di Jalan Rawang, manakala empat hingga lima meter bagi pelebaran Jalan Teluk Piah Kanan.
"Bagi pelan jangka masa panjang, kita bercadang mewujudkan lampu isyarat, pelebaran serta menaik taraf jalan di simpang empat ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!