33 rumah, 6 gerai rosak akibat ribut di Hulu Kinta
IPOH - Sebanyak 39 premis membabitkan 33 rumah dan enam gerai di Mukim Hulu Kinta di sini rosak akibat ribut yang berlaku pada petang Khamis.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kinta memaklumkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 5.30 petang melibatkan empat kawasan.
Menurutnya, sebanyak 17 rumah dan enam gerai yang terjejas di Taman Perpaduan, tujuh rumah di Taman Mewah, enam rumah di Kampung Batu 5 manakala tiga rumah lagi di Kampung Batu 6.
"Kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan mangsa dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka.
"Jumlah keseluruhan premis terlibat dengan kejadian ribut ini sebanyak 39 buah premis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, seramai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kinta terlibat memantau dan membuat penilaian risiko di kawasan kejadian.
Katanya, selain APM, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut berada di lokasi kejadian.
Norazlan berkata, beberapa agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Bandaraya Ipoh dan syarikat konsesi turut membantu menyelesaikan aduan pokok tumbang akibat bencana tersebut.
Sementara itu, jumlah sebenar mangsa yang terlibat dan kerugian dialami masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!