'Jangan panggil mereka banduan'

Arama (kanan) dan Nagamani melihat OBB mengecat pagar Masjid Kemumin pada Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa pada Jumaat.
Arama (kanan) dan Nagamani melihat OBB mengecat pagar Masjid Kemumin pada Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua pengurus syarikat di sini tidak pernah menganggap Orang Bebas Berlesen (OBB) sebagai banduan malah terus menerima individu terlibat untuk bekerja di syarikat mereka.

Arama Yusof, 51, dan R Nagamani, 40, juga mengakui tidak pernah berprasangka buruk kepada golongan itu malah kesemua mereka rajin bekerja dan jujur.

Arama ketika ditemui memberitahu, sudah mengupah lebih 400 OBB dalam tempoh enam tahun.

Beliau juga percaya setiap mereka yang dikenakan tindakan undang-undang itu masih ada peluang untuk berubah malah tidak pernah membawa masalah melibatkan pengurusan syarikat.

"Jangan panggil mereka banduan. Saya akan marah jika ada pelanggan atau penduduk sekitar menggelarkan mereka banduan.

"Saya boleh gredkan mereka sebagai A kerana memang terbaik ketika diarahkan melakukan tugas," katanya selepas Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Menurut Arama, setiap individu yang dilatih bekerja di syarikatnya boleh meneruskan tugas jika tamat parol.

"Ada di antara mereka yang sudah berjaya dan hidup stabil selain mampu memberi wang bulanan kepada ibu bapa," katanya.

Arama yang mengendalikan syarikat yang mengendalikan kedai potong kereta kini mempunyai 16 pekerja melibatkan OBB dan mereka boleh terus bekerja jika mahu mencari rezeki di syarikatnya.

Pengarah sebuah syarikat yang membeli besi terpakai R Nagamani, 40, turut mengakui lebih mudah berurusan dengan individu yang diparol.

"Mereka sebenarnya lebih rajin bekerja tetapi pengaruh rakan-rakan menjadikan nekad mereka untuk berubah gagal," katanya.

Nagamani kini mempunyai enam pekerja dalam kalangan OBB yang turut serta bergotong-royong membersih dan mengecat Masjid Kemumin.

"Mereka juga mahu masa depan yang baik dan kita sebagai ketua di syarikat tiada masalah membantu merealisasikan hasrat itu," katanya.

Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin melibatkan 19 OBB yang turut bersama menyertai kuliah subuh, solat berjemaah dan gotong-royong.

Turut sama beberapa pegawai daripada Penjara Pengkalan Chepa, badan bukan kerajaan (NGO) M150 dan jemaah masjid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!