KPDN lancar Jualan Rahmah Bergerak di 11 kawasan Parlimen KL

Ariffin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 12 jenis barangan yang akan dijual semasa penganjuran PJR di seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 24 Jun hingga 1 Ogos ini.
Ariffin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 12 jenis barangan yang akan dijual semasa penganjuran PJR di seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 24 Jun hingga 1 Ogos ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menganjurkan Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak selama 33 hari di 11 kawasan Parlimen sekitar Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, program yang menyasar memberi manfaat kepada kumpulan masyarakat B40 itu akan bermula 24 Jun hingga 1 Ogos ini.

Beliau berkata, sebanyak 12 jenis barangan terpilih seperti ayam, daging, ikan kembung, telur dan beras akan dijual dengan diskaun maksimum 30 peratus.

"KPDN KL telah menetapkan kawasan-kawasan yang akan dikunjungi PJR sepanjang tempoh program ini berlangsung iaitu pada setiap hari kecuali Jumaat.

"Apa yang menarik, kesemua 12 jenis barangan ini akan dijual dengan potongan harga semaksimum mungkin iaitu sehingga 30 peratus kepada golongan B40," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Seksyen KPDN KL, M Aviinesh dan Ketua Seksyen Kepenggunaan KPDN KL, Sophia Cheang.

Ariffin berkata, anggaran nilai keseluruhan harga barangan yang dijual di setiap lokasi adalah sebanyak RM150,000.

Katanya, menerusi penawaran diskaun 30 peratus yang diberikan pada setiap lokasi, KPDN KL menanggung subsidi kos barangan berjumlah RM30,000.

Ujarnya, manfaat besar yang ditawarkan itu adalah bertujuan meringankan beban perbelanjaan golongan B40 di seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sehubungan itu katanya, KPDN KL berharap agar mereka yang layak sahaja untuk hadir membeli di PJR.

"Mereka yang bukan terdiri daripada golongan B40, berilah peluang kepada mereka yang memerlukan untuk mendapat manfaat daripada program yang dianjurkan ini.

"Semua barangan akan habis dijual pada hari ditetapkan, namun ada had pembelian ditetapkan kepada setiap pembeli," ujarnya.

Sementara itu kata beliau, KPDN KL akan turut mempromosikan aplikasi Price Catcher yang ternyata memberi manfaat besar kepada orang ramai mengetahui harga barangan di premis-premis jualan terpilih.

Kata beliau, menerusi aplikasi tersebut, orang ramai boleh mengetahui harga barangan secara langsung setiap hari apabila pegawai pemantau harga KPDN KL memuat naik senarai harga sejak awal pagi.

"Aplikasi ini telah ditawarkan kepada orang ramai sejak 2018, namun ia tidak digunakan secara meluas sedangkan ia sangat bermanfaat untuk mengetahui harga barangan semasa.

"Kita menyasarkan 10,000 pengguna baharu untuk aplikasi ini sepanjang tempoh PJR berlangsung," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!