El-Nino: Belum ada keputusan tentang harga beras - Salahuddin
KOTA KINABALU - Masih belum ada keputusan daripada kerajaan tentang harga beras pada masa ini, walaupun terdapat laporan media hari ini mendakwa kenaikan harga beras bakal berlaku bulan depan akibat kekurangan bekalan kesan daripada El Nino.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya bersedia menghadapi sebarang kesan akibat cuaca panas itu termasuk melibatkan harga beras.
"Sekarang ini kita sudah minta pegawai dapatkan maklumat daripada KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) mungkin lewat petang ini kita akan peroleh, desas-desus (berlaku) kenaikan (harga) itu tiada lagi, bukan keputusan daripada kerajaan lagi.
"Kementerian saya dan KPKM akan bertukar nota hari ini dengan secepat mungkin mengenai perkara ini, kemudian kita keluarkan satu kenyataan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei di Depo Petronas Dagangan Berhad Sepanggar di sini hari ini.
Misi itu menyaksikan pembekalan 150 tan metrik gas petroleum cecair (LPG) tidak bersubsidi dari Malaysia ke Brunei bermula 16 Jun lepas hingga 1 Julai ini.
Media hari ini melaporkan Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin, Ameer Ali Mydin mendakwa akan terdapat kenaikan harga beras antara RM1 dan RM2 sekampit bagi beberapa jenis beras, termasuk beras putih import pada bulan depan.
Ameer Ali juga mengaitkan lonjakan harga beras putih tempatan berpunca daripada kekurangan bekalan akibat gelombang panas baru-baru ini yang menjejaskan penuaian musim lepas, namun menurutnya bekalan dijangka stabil menjelang September. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!