UMNO dijangka tanding 15 kerusi DUN Kedah

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
A
A
A

PENDANG - UMNO Kedah meramalkan bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, PengerusiUMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) negeri dijangka selesai sebelum Aidiladha ini.

"Kalau kita ada 15 DUN yang bertanding itu kira minimumlah. Ya, kalau kita dapat lebih daripada itu, maknanya itu sudah banyaklah daripada itu," katanya ketika ditemui selepas memberi taklimat persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) UMNO DUN Sungai Tiang di Pejabat UMNO Pendang di sini pada Jumaat.

Ketika ditanya mengenai pembahagian dua daripada 36 kerusi DUN Kedah yang masih belum dimuktamadkan oleh BN dan PH Kedah, Mahdzir berkata, perkara itu dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya ingat yang itu bukan isu untuk diselesaikan. Insya-ALLAH dalam minggu ini sebelum raya haji kita boleh selesai,” katanya.

Menyentuh tentang persediaan parti itu pula, beliau berkata, BN sudah memulakan gerak kerja termasuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) setiap DUN.

"Katalah Sungai Tiang, ada lebih kurang 23 PDM, akan tubuh jawatankuasa di 23 PDM itulah. Katalah di Tokai ada 21 jadi ada 21 jawatankuasa," katanya.

Ujarnya, antara gerak kerja yang diputuskan adalah untuk memastikan semua jawatankuasa yang ditubuhkan itu bekerjasama dengan calon PH di DUN yang ditandingi mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!