Harga beras import naik bulan depan

Harga beras import di pasaran dijangka akan meningkat antara RM1 ke RM2 untuk beras kampit 10 kilogram bermula bulan depan, susulan kelemahan ringgit dan kenaikan kos buruh serta tarif elektrik.(Gambar hiasan) - Foto 123rf Gambar kecil: Ameer Ali Mydin
Harga beras import di pasaran dijangka akan meningkat antara RM1 ke RM2 untuk beras kampit 10 kilogram bermula bulan depan, susulan kelemahan ringgit dan kenaikan kos buruh serta tarif elektrik.(Gambar hiasan) - Foto 123rf Gambar kecil: Ameer Ali Mydin
A
A
A

SHAH ALAM - Harga beras import di pasaran dijangka akan meningkat antara RM1 ke RM2 untuk beras kampit 10 kilogram bermula bulan depan, susulan kelemahan ringgit dan kenaikan kos buruh serta tarif elektrik.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kenaikan itu membabitkan beberapa jenis beras, antaranya beras putih import, beras basmathi dan beras wangi.

Menurutnya, kenaikan itu bagaimanapun tidak membabitkan beras tempatan memandangkan ia tertakluk kepada harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

“Pembekal telah maklumkan akan ada peningkatan harga antara RM1 ke RM2 untuk beras kampit 10 kilogram, maknanya akan ada kenaikan lagi bermula bulan depan.

“Kenaikan harga ini sebenarnya bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi di kebanyakan negara. Di negara ini, puncanya adalah kelemahan ringgit dan kos tarif elektrik semakin mahal serta kos pekerja.

“Kalau kos meningkat, kita juga terpaksa naikkan. Beras import ini ada banyak jenis, antaranya beras basmathi, beras wangi dan beras putih import yang mana ia dijual antara RM13 ke RM15,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Ameer, gelombang panas yang berlaku turut menjejaskan penuaian pada musim lepas, menyebabkan kenaikan harga beras putih tempatan namun bekalan dijangka stabil menjelang September.

Katanya, kenaikan itu menyebabkan keuntungan peruncit berkurangan kerana pembekal menaikkan harga daripada RM12.50 kepada RM12.80 bagi beras putih tempatan iaitu ‘5% Super Spesial Tempatan’.

“Walaupun kos meningkat, kami terpaksa jual pada harga RM13 juga sebab beras tempatan tertakluk kepada harga kawalan.

“Peruncit seperti kami terbeban dengan kos tambahan ini menyebabkan kita tiada pilihan melainkan terpaksa menaikkan harga bagi menampung pertambahan kos,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!