Juruukur maut nahas di Bukit Tangga baru terima APC

Muhamad Hasnul (duduk, tengah) ketika majlis APC pada minggu lalu.
Muhamad Hasnul (duduk, tengah) ketika majlis APC pada minggu lalu.
A
A
A

JELEBU - Penunggang motosikal yang maut dalam nahas di Kilometer 19, Jalan Seremban-Simpang Pertang, dekat Bukit Tangga di sini, baru sahaja menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) minggu lalu.

Mangsa, Muhamad Hasnul Ramli, 48, merupakan kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) Negeri Sembilan Barat ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjalankan tugas luar di Kampung Jeram Lesong di sini.

Menurut juruukur Jupem Daerah Negeri Sembilan Barat, Sr Muhamad Fariz Absl Kamarul Azman, Allahyarham seorang pekerja yang berpengalaman dan telah berkhidmat selama 20 tahun.

"Arwah seorang yang rajin, tidak banyak cakap namun mesra dengan kawan-kawan selain seorang yang cepat belajar.

"Kali terakhir saya berjumpanya pada minggu lalu sempena APC dan arwah kelihatan gembira namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Jelebu pada Jumaat.

Muhamad Fariz (kanan) bersama dua lagi kakitangan Jupem yang turut berada di Hospital Jelebu.
Muhamad Fariz (kanan) bersama dua lagi kakitangan Jupem yang turut berada di Hospital Jelebu.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi mangsa nahas iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seperi, Jelebu tengah hari Jumaat.

Bapanya, Koperal Mohd Hariz Shakirin Mohd Yusof berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan dua anak lelaki berusia enam serta tiga tahun dalam perjalanan pulang selepas selesai membeli barang di Seremban.

"Saya sempat mengeluarkan anak sebaik kemalangan sebelum mendapatkan rawatan di hospital," katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan sebuah motosikal pada malam Khamis.

Kedua-dua mangsa merupakan penumpang kereta iaitu kanak-kanak lelaki dan penunggang motosikal seorang lelaki berusia 48 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, siasatan lanjut kemalangan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ayah dan ibu kanak-kanak yang maut sudah dibenarkan keluar wad manakala anak sulung mereka masih lagi dirawat di Hospital Jelebu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!