Penternak murah hati jual lembu korban lebih murah
KOTA BHARU - Masih ada penternak yang bermurah hati menjual lembu untuk ibadah korban dengan harga lebih rendah antara RM650 hingga RM700 bagi satu bahagian di negeri ini.
Penternak lembu berkenaan, Shamsudin Senik, 63, menjual dengan kadar itu bagi haiwan bersaiz sederhana sekitar 170 kilogram (kg) hingga 200kg berbanding harga ketika ini sekitar RM750 hingga RM850 sebahagian.
Menurutnya, 11 ekor lembu berusia dua tahun kini habis ditempah oleh orang ramai bermula selepas Ramadan lalu.
“Tahun lepas saya jual sebanyak lima ekor lembu sahaja berbanding tahun ini dijual dalam jumlah lebih sekali ganda kerana permintaan tinggi.
“Pada tahun-tahun lepas itu juga, harga bagi sebahagian lembu antara RM550 hingga RM650 manakala pada tahun ini tidak boleh dijual dengan nilai yang sama kerana kos makanan ternakan yang meningkat,” katanya ketika ditemui di Chempaka di sini pada Jumaat.
Shamsudin berkata, dia dapat menjual lembu-lembunya dengan murah kerana hanya mengambil untung yang kecil ditambah haiwan-haiwan itu sudah dibeli lebih awal dan dipeliharanya sendiri selama empat bulan.
“Kalau waktu sekarang baru nak beli lembu untuk dijual buat korban, maka harga akan lebih tinggi kerana permintaan yang banyak.
“Saya memperoleh pendapatan menjual lembu korban sejak mula berniaga pada tahun 2014 dan kali ini harga paling mahal pernah dialami,” ujarnya.
Sementara itu, seorang bekas pekerja bank, Md Shahri Md Alwi, 63, berkata, dia memilih untuk membeli tujuh bahagian atau seekor lembu bagi tujuan ibadah korban keluarganya pada tahun ini.
“Saya dapat harga RM650 sebahagian menjadikan jumlah harga seekor RM4,550 bagi lembu yang bersaiz agak besar.
“Biasanya hanya ambil dua bahagian, tetapi kali ini ada rezeki lebih boleh korban seekor lembu,” kata Md Shahri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!