Pendapatan peserta BMT naik 46 peratus
RATA-rata peserta telah mencapai kenaikan purata pendapatan bulanan sebanyak 46 peratus sejak Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) diperkenalkan.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sebanyak empat lokaliti sekitar Lembah Klang telah dikenal pasti iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, PPR Desa Rejang, PPR Muhibbah dan PPR Taman Mulia bagi menyertai program berkenaan.
"Saya berharap program seperti ini dapat dijalankan ke fasa seterusnya selain komited dalam melaksanakan inisiatif tersebut supaya dapat menangani masalah kemiskinan tegar.
"Agrobank melalui Agrobank Centre of Excellence (ACE) menyediakan perkhidmatan berkonsepkan latihan di mana kami memberi bimbingan berkenaan topik keusahawanan merangkumi seni urus kewangan, pemasaran digital, pengembangan perniagaan, pengurusan perniagaan dan sebagainya kepada peserta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, program berkenaan sejajar dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menumpukan pengupayaan golongan miskin agar dapat meningkatkan potensi pendapatan mereka.
"Agrobank menyokong penuh hasrat kerajaan sejajar dengan visi dan misi syarikat untuk menggalakkan ekonomi negara khususnya melalui bidang keusahawanan.
"Selain melibatkan peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan khususnya dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan baharu dari pelbagai sektor," jelasnya.
Terdahulu, Agrobank dengan kerjasama Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya (UM) menyampaikan sijil BMT Fasa 1 kepada 132 peserta baru-baru ini.
Program berteraskan pembangunan ekonomi berkenaan khusus untuk golongan sasar iaitu Program Penduduk Perumahan Rakyat (PPR) yang diperkenalkan pada tahun 2022 dengan memfokuskan menaik taraf kehidupan bagi menangani kemiskinan tegar.
Sementara itu, peserta program berkenaan, Zarina Abu Safian berkata, ACE banyak membantu perniagaannya sebagai penjaja kuih tradisional dari segi pemasaran, pengurusan perniagaan dan juga bantuan lain.
"Saya bersyukur kerana program ini telah mengubah pendapatan saya dari puluhan ringgit ke ribuan ringgit sebulan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!