Perhatin perlukan dana RM15 juta bina kompleks anak yatim

Salamon menunjukkan kertas cadangan pembinaan asrama anak-yatim/miskin di Bandaraya Shah Alam.
Salamon menunjukkan kertas cadangan pembinaan asrama anak-yatim/miskin di Bandaraya Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Anak Yatim/Miskin Bandaraya Shah Alam, Selangor (Perhatin) mengharapkan lebih ramai pihak tampil memberikan sumbangan bagi tujuan pembinaan kompleks anak yatim yang menelan belanja RM15 juta.

Yang Dipertuanya, Datuk Salamon Selamat berkata, setakat ini dana terkumpul adalah sebanyak RM800,000 dan berharap jumlah itu akan mencukupi agar pembinaan kompleks tersebut dapat dimulakan tahun hadapan

Menurutnya, kos ditetapkan bagi tujuan pembinaan bangunan adalah RM3.5 juta dan selebihnya untuk kelengkapan lain seperti perabot dan perbelanjaan tahun pertama.

“Kami bekerjasama dengan Perbadanan Wakaf Selangor dan sebarang bentuk sumbangan yang akan diterima adalah melalui akaun yang disediakan oleh pihak berkenaan.

“Langkah ini diambil bagi membuktikan ketelusan dalam pengurusan kewangan yang disumbangkan bagi pembinaan kompleks tersebut,” katanya ketika ditemui di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Salamon menjelaskan, kompleks anak yatim itu akan dibina di atas tanah seluas 1.67 hektar dengan kerja-kerja tanah sudah pun bermula.

Katanya, pelan pembangunan Kompleks Perhatin itu sedang disiapkan oleh sebuah syarikat arkitek.

"Kompleks itu nanti bakal menempatkan seramai 250 anak yatim dalam satu masa dengan pecahan pelajar lelaki sebanyak 150 orang manakala 100 pelajar perempuan.

“Pelbagai kemudahan akan disediakan antaranya dua blok asrama pelajar tiga tingkat, satu blok pentadbiran dan pejabat, dewan makan utama dan dewan pembelajaran serbaguna.

“Kedudukannya juga bersebelahan masjid yang baru dibina, sehubungan itu pelajar akan menjalankan aktiviti keagamaan dan solat di kawasan masjid berkenaan,” ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan kutipan dana boleh dikumpul dalam masa terdekat dan sebarang sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam di 12038010072083 milik Tetuan Pertubuhan Anak-anak Yatim/Miskin Bandaraya Shah Alam, Selangor (Perhatin).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!