Solar PV: Had kapasiti NEM Rakyat dilonggarkan
PUTRAJAYA - Had kapasiti setiap isi rumah bagi permohonan Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat dilonggarkan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu bagi menggalakkan amalan cekap tenaga dan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu melalui sistem pemasangan solar fotovoltaik (PV) sebagai salah satu opsyen pengguna mengawal bil elektrik.
"Had kapasiti bagi setiap permohonan NEM Rakyat dilonggarkan berbanding had 4kW untuk pemasangan satu fasa dan 10kW bagi pemasangan tiga fasa," katanya pada sidang akhbar pelarasan tarif elektrik di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pengguna boleh melakukan pemasangan sistem solar berdasarkan kriteria teknikal yang ditetapkan.
"Had kapasiti sistem solar PV yang dibenarkan di bawah Program NEM NOVA dan Program Pemasangan Solar PV untuk Kegunaan Sendiri (SelCo) ditingkatkan daripada 75 kepada 85 peratus," katanya.
Beliau berkata, program SelCo turut dibuka untuk permohonan dan penyertaan pengguna voltan tinggi.
"Pelaksanaan ketetapan baharu di bawah Program NEM dan SelCo ini akan berkuat kuasa mulai 15 Julai, berpandukan garis panduan yang akan dikemaskini oleh Suruhanjaya Tenaga.
"Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga akan mengumumkan beberapa penambahbaikan untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!