Johor bincang isu tanah adat Orang Asli secara meja bulat

Zahari (lima dari kanan) pada program Johor FAMA Fest 2023 di Aeon Bukit Indah pada Jumaat.
Zahari (lima dari kanan) pada program Johor FAMA Fest 2023 di Aeon Bukit Indah pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebarang perbincangan berhubung isu status tanah adat masyarakat Orang Asli di negeri ini diwartakan sebagai Tanah Kesultanan perlu dibuat secara perbincangan meja bulat dan bukan secara terbuka melibatkan pihak yang berkepentingan, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip.

Menurut Zahari, sekiranya perbincangan itu dibuat secara terbuka, dikhuatiri akan timbul provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

"Ya, ada perbincangan berlaku (berkenaan tanah adat masyarakat Orang Asli diwartakan Tanah Kesultanan) kerana memang mereka bertanyakan soal ini, tetapi perbincangan itu diadakan dalam keadaan meja bulat, bukan perbincangan terbuka.

"Ini kerana saya bimbang ada pihak ambil kesempatan dan lakukan provokasi sekiranya perbincangan dibuat di luar, jadi sebarang perbincangan berkaitan Tanah Kesultanan ini perlu dibuat dengan teliti.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan kita harap perkara ini selesai dengan baik," katanya.

Zahari berkata demikian selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkifli; Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Negeri, Faidz Afizi Mohamed.

Pada 25 Mac 2023, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar tanah Orang Asli di negeri ini dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan bagi memastikan tanah tersebut menjadi lebih terbela di bawah enakmen yang tersedia.

Bagaimanapun pada 8 Mei 2023, lebih 200 Orang Asli dari sekitar negeri ini berhimpun dan berarak secara aman di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, yang menempatkan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bagi membantah cadangan menjadikan tanah adat Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan.

Sementara itu, Zahari berkata, pihaknya turut meninjau projek pertanian di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi yang telah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan.

"Saya sendiri dibawa meninjau ke satu kawasan yang telah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan di Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi di mana tanah itu diusahakan dengan tanaman sawit dan getah oleh Orang Asli. Jadi tiada isu sebenarnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!