Pelajar maut pemadam api meletup ketika latihan kebakaran
BANGKOK - Seorang pelajar maut manakala sekurang-kurangnya sembilan lagi cedera apabila alat pemadam api meletup ketika sesi latihan kebakaran di sebuah sekolah menengah di Bangkok, Jumaat.
Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana Thailand (DDPM) memaklumkan alat pemadam api meletup semasa latihan kebakaran di pekarangan Sekolah Rajavinit Mathayom di Daerah Dusit pada 11.22 pagi (waktu tempatan).
"Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca letupan,” katanya.
Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt yang melawat tempat kejadian berkata, 21 pelajar mengalami kecederaan ringan manakala sembilan lagi pelajar dikejarkan ke dua hospital untuk menerima rawatan.
Semua pelajar dilaporkan dalam keadaan stabil.
Media tempatan melaporkan mangsa yang maut merupakan pelajar Grade 12.
Siasatan awal mendapati suhu tinggi mungkin menyebabkan alat pemadam api itu meletup ketika anggota bomba sedang menunjukkan cara-cara penggunaan alat pemadam api.
Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Pol Leftenan Jeneral Thiti Saengsawang berkata pihak polis mengaitkan tiga individu dengan kecuaian ketika latihan dijalankan.
"Lebih banyak pertuduhan menyusul selepas penyiasat selesai menyoal peserta lain,” katanya dipetik oleh Bangkok Post. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!