Kempen PRN: Saranan Sanusi hanya 'manis kata di bibir sahaja'

Mahdzir (kiri), Sanusi (kanan). - Foto fail Awani
Mahdzir (kiri), Sanusi (kanan). - Foto fail Awani
A
A
A

PENDANG - Saranan yang dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar semua pihak memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai 'anak jantan' dengan tidak menggunakan aset dan agensi kerajaan diibaratkan seperti 'manis kata di bibir sahaja'.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan tindakan yang dibuat pemimpin berkenaan juga hanyalah satu 'momokan' berlebihan dimainkan dengan cara tidak sepatutnya.

Tambah beliau, kedua-dua belah pihak sama ada gabungan BN-Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional juga perlu memahami tanggungjawab masing-masing dalam menuju PRN akan datang memandangkan Kedah adalah negeri pembangkang.

"Saya ingat kita tidak payah cerita pasal (guna harta kerajaan) yang terlalu terlalu (bermotif) nak pengasing-pengasing (mencipta perpecahan antara) kerajaan ini, kita masuk pilihan raya, kita kerajaan Persekutuan, awak kerajaan Negeri, Itu sahaja, kita masuklah (dan) kita perlu profesional, (untuk) kita masuk (PRN).

"Kita tidak payah sangat hendak ungkit, tidak payah sangat nak mengata, kita tidak payah sangat nak guna emosi, kaedah politik ekstrem yang melampau ini kita tak perlu guna," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan taklimat persiapan Pilihan Raya Negeri DUN Sungai Tiang di Pejabat UMNO Bahagian Pendang, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau yakin bahawa pengundi di negeri Jelapang Padi itu kini berada pada landasan serta naratif yang jelas dalam memilih pihak yang benar-benar akan membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini kerana menurutnya, kebanyakan daripada mereka difahamkan telah tersilap dalam membuat keputusan memilih calon dan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi berkata beliau berharap agar amalan demokrasi tidak dicabuli sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian dengan penggunaan dana, harta dan agensi-agensi kerajaan oleh parti tertentu bagi tujuan kempen parti politik.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk memasuki gelanggang pertandingan sebagai 'anak jantan' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri termasuk negeri Jelapang Padi itu. - Awani

Ikuti perkembangan semasa berita Pilihan Raya Negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!