Video TikTok cuba fitnah polis disiasat
SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan berhubung penularan video yang dimuat naik menerusi TikTok dengan hantaran mendakwa terdapat unsur rasuah melibatkan anggotanya pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati video tular tersebut memaparkan sebuah kenderaan ditarik dengan lori.
"Video tersebut turut disertakan dengan hantaran mendakwa polis menerima rasuah dan semua di bawah kawalan pihak polis.
"Siasatan dijalankan kemudiannya mendapati kejadian tersebut berkaitan wakil daripada bank telah membuat satu laporan polis mengenai tindakan menarik kenderaan tersebut kerana telah tertunggak bayaran ansuran selama lima bulan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan mendapati pemilik akaun tersebut telah menggunakan kata-kata berunsur fitnah.
"Tindakan pemilik akaun yang memuat naik video dan hantaran tersebut dipercayai cuba menjejaskan imej dan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syer Aidid Rusazman Sharan di talian 019-222 3361.
Pada Jumaat, tular video dan hantaran di TikTok yang didapati cuba menjejaskan reputasi PDRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!