PDRM FC peroleh tiga mata di Ipoh

Aksi perlawanan Perak FC dengan PDRM FC di Stadium Perak pada Jumaat. - FOTO IHSAN TWITTER PDRM FC
Aksi perlawanan Perak FC dengan PDRM FC di Stadium Perak pada Jumaat. - FOTO IHSAN TWITTER PDRM FC
A
A
A

PDRM FC mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila berjaya menumpaskan Perak FC di Stadium Perak di Ipoh pada Jumaat.

Minit awal perlawanan menyaksikan Perak FC menguasai permainan dengan beberapa percubaan.

Bagaimanapun memasuki minit ke-17, PDRM FC memperoleh peluang terbaik menerusi tandukan Marcus Macauly namun melepasi palang gol.

Kad kuning pertama dilayangkan Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi ke atas pemain Perak FC, Muhamad Alif Zikri kerana mengasari pemain lawan.

Perak FC hampir mendahului perlawanan menerusi sepakan percuma oleh Che Mohamad Suhairi pada minit ke-42 namun berjaya ditumbuk keluar penjaga gol PDRM FC, Muhammad Aqil Abdul Razak.

Keputusan separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan.

Bersambung babak kedua, PDRM FC mengasak ke kubu tuan rumah dengan beberapa percubaan.

Hasilnya pada minit ke-50, pemain import PDRM FC, Uche Agba berjaya mendahului jaringan menewaskan penjaga gol Perak FC, T Shaheeswaran.

Berselang enam minit kemudian, Perak FC dihukum lagi dengan jaringan kedua pasukan pelawat menerusi Nabil Latpi.

Pada minit ke-64, PDRM FC hampir menambah lagi jaringan namun tandukan Alif Najmi hasil umpanan melalui sepakan percuma Marcus Macauly mengatasi palang gol.

Sementara itu, Perak dihadiahkan gol pertama pada minit ke-72 menerusi jaringan sendiri apabila James Okwuosa tertampan ke gawang PDRM FC.

Keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!