Kelantan FC tersungkur lagi, tewas 0-5 dengan Sri Pahang
[DIKEMAS KINI] PENGENDALI baharu Kelantan FC, Alfredo Vera perlu melakukan lebih banyak kerja rumah selepas The Reds Warriors (TRW) tewas 0-5 kepada Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Jumaat.
Itu cabaran dilihat perlu diharungi Vera berusia 50 tahun dari Argentina, ketua jurulatih ketiga TRW musim ini yang mengantikan Frank Bernhardt (Jerman) selepas menggalas tanggungjawab daripada Choi Moon-sik (Korea Selatan) sebelum ini.
Skuad yang bakal menjadi taruhan kepada bekas pengendali kelab Liga 1 Indonesia, Persita Tangerang sebelum itu bermula garang lima minit pertama ketika TRW bimbingan Bernhardt tersebut berdepan angkatan Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad dalam perlawanan di Kota Bharu tersebut.
Bagaimanapun Sri Pahang yang tampil lebih berpengalaman tenang mengawal permainan terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Sergio Aguero pada minit ketujuh sekali gus menyentap kira-kira 3,528 penonton bagi membolehkan skuad Tok Gajah memimpin separuh masa pertama 1-0.
Separuh masa kedua, Kelantan yang tampil tanpa beberapa tonggak utama menggunakan beberapa pemain muda berusaha kembali dalam permainan apabila menguji penjaga gol Tok Gajah, Izham Tarmizi Roslan.
Bagaimanapun Sri Pahang yang bermotivasi tinggi dengan kemenangan 4-3 ke atas Negeri Sembilan FC di Kuantan pada 9 Jun lalu tampil lebih kemas pada babak kedua.
Hasilnya, empat gol Tok Gajah dijelmakan oleh Fadhli Shas (minit ke-48', m-61) dan Kpah Sherman (m-58', 86') untuk tiga mata dari bumi Cik Siti Wan Kembang tersebut.
Kekalahan ke-12 liga selepas mengharungi 14 perlawanan menyaksikan Kelantan kekal di tangga ke-14 liga - satu menang, satu seri, 12 tewas.
Sementara itu, Sri Pahang naik satu tangga di kedudukan ketiga dengan 31 mata - sembilan menang, empat seri, dua tewas - selepas 15 kali beraksi.
Kelantan selepas ini dijadualkan berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya pada 8 Julai depan manakala Sri Pahang melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Darul Makmur (9 Julai).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!