Tragedi pilu 'Titanic 2023'
NEW YORK - Ekspedisi untuk meneroka lokasi bangkai kapal Titanic tenggelam pada 1912 yang dikendalikan OceanGate Expeditions bertukar tragedi apabila kesemua lima kru dilaporkan terkorban selepas kapal selam dinaiki mereka meletup sekelip mata.
Pengumuman pada Khamis itu, sekali gus bakal menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) multinasional di perairan Atlantik Utara yang mendapat perhatian komuniti antarabangsa sejak awal minggu lalu.
Laksamana Muda John Mauger berkata, analisis menunjukkan serpihan tersebut ditemui di dasar laut pada kedalaman 500 meter dari laluan ke lokasi Titanic.
"Bukti penemuan itu konsisten dengan letupan bencana ruang tekanan kapal selam tersebut.
"Bagi pihak Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) dan seluruh pasukan terlibat, saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga kelima-lima mangsa," ujarnya.
Terdahulu, Pengawal Pantai AS mengumumkan robot dasar laut yang turut digunakan dalam misi itu berjaya menemui medan serpihan di zon carian yang telah diperluaskan di Lautan Atlantik.
Difahamkan, serpihan itu termasuk kon ekor kapal selam dan bahagian depan serta belakang badan tekanannya.
"Pengawal pantai tidak dapat memastikan bila atau mengapa Titan meletup dan sama ada kesemua cebisan mayat akan dibawa naik ke permukaan. Robot yang dikerahkan ke lokasi berkenaan akan meneruskan operasi carian di dasar laut buat masa ini.
"Kami akan mengumpulkan seberapa banyak maklumat yang boleh," jelas Mauger lagi.
Mereka yang terbunuh ialah bilionair Britain, Hamish Harding, 58, pakar kapal selam Perancis, Paul-Henri Nargeolet, 77, taikun Pakistan, Shahzada, 48,dan anak lelakinya, Suleman Dawood, 19, serta Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate Expeditions, Stockton Rush, 61.
"Kesemua mereka adalah peneroka sejati yang berkongsi semangat pengembaraan berbeza untuk meneroka dan melindungi lautan dunia," kata pengendali kapal selam Titan itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tentera AS pada awalnya telah mengesan letupan Titan menggunakan peranti pemantauan rahsia bunyi dasar laut tidak lama selepas ia dikatakan hilang pada Ahad lalu.
"Tentera Laut AS menjalankan analisis data akustik dan mengesan anomali yang konsisten dengan letupan atau impak di persekitaran umum di mana Titan beroperasi apabila komunikasi terputus," lapor WSJ memetik kenyataan pegawai kanan tentera laut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!