Lebih lima jam susur sungai
SHAH ALAM - Demi menjayakan Program Bicara Cilik Rasuah Busters, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuamut, Kinabatangan, Sabah sanggup menelusuri sungai menaiki bot selama lebih lima jam untuk ke bandar.
Guru pembimbing, Muhammad Najib Mohd Jamil berkata, sekolahnya terletak di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai capaian internet yang baik.
Justeru katanya, beliau bersama tiga guru pengiring dan tiga murid perlu menempuh perjalanan yang bukan hanya mengambil masa lima hingga tujuh jam menelusuri sungai ke Pekan Bukit Garam, Kinabatangan, malah dua jam lagi melalui jalan darat untuk ke bandar Sandakan.
"Program berlangsung menerusi dalam talian, jadi kami memerlukan capaian internet yang baik.
"Perjalanan kami keseluruhannya mengambil masa kira-kira 10 jam untuk ke bandar dan menginap di hotel," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Muhammad Najib berkata, salah seorang muridnya terpilih untuk bergandingan dengan moderator Program Bicara Cilik Rasuah Busters dan mereka gigih membuat persiapan serta persediaan rapi sejak dua minggu lalu.
"Ini pengalaman pertama mereka dan murid-murid saya begitu bersemangat serta amat teruja untuk menjayakan Program Bicara Cilik Rasuah Busters," katanya.
Murid Tahun Enam, Ilicekah Saitor akan menjadi moderator cilik, manakala Evenella Nyvera Jumiti dan Mohammad Fairuz Faizal Abdullah akan mempersembahkan syair.
Selain Muhammad Najib, kesemua murid terlibat dibimbing tiga guru lain iaitu Hawia Miludding, Fiqrie Rudy dan Mohd Zulfikar Hartawan.
Mengulas lanjut, Muhammad Najib berharap murid-murid terlibat dapat memanfaatkan peluang dan pengalaman yang diperoleh itu dengan baik.
"Pendedahan awal tentang kesan buruk rasuah amat penting supaya kesedaran untuk memerangi perbuatan terkutuk itu dapat ditanam dalam diri murid-murid," katanya.
Program Bicara Cilik Rasuah Busters akan disertai 19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah dengan penglibatan seramai 29 murid lelaki, 29 murid perempuan serta 92 guru pembimbing dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 10 tajuk bakal dikupas oleh pembentang cilik antaranya Kenali rasuah dan punca rasuah, Kesan rasuah kepada ekonomi, Kesan rasuah kepada institusi sosial, Kesan rasuah kepada politik, Cara-cara menangani rasuah, Pandangan agama terhadap amalan rasuah, Kajian terhadap kes rasuah di Malaysia, Huraian terhadap kesalahan rasuah di Malaysia dan Apakah Rasuah Busters?
Program yang dijalankan secara dalam talian itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan Facebook Rasuah Busters serta Sinar Bestari.
Program Bicara Cilik Rasuah Busters dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu, Jerantut, Pahang dengan kerjasama Rasuah Busters.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!