Festival filem Thailand kembali ke Malaysia
SUSULAN kejayaan dua Festival Filem Thailand di Malaysia pada 2017 dan 2019, Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur selaku penganjur sekali lagi membawakan lima filem terkenal sempena Festival Filem Thailand di Malaysia untuk 2023.
Festival yang bertemakan " Bridging Thainess to International Audience," akan menampilkan filem Faces of Anne (sebuah thriller psikologi), Love Destiny the Movie (sebuah romantic komedi), Fast and Feel Love (sebuah filem komedi unik), Haunted Universities Semester 2 (filem seram), dan Friend Zone (rom-com), menurut duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas.
"Festival Filem Thai memberi lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk mengenali Thailand dengan lebih dekat dan mempromosikan budaya dan sosialnya dalam kalangan rakan-rakan di Malaysia,” katanya pada sidang media mengenai festival itu di kedutaan, Jumaat.
Tayangan umum akan berlangsung dari 14 hingga 16 Julai di GSC Mid Valley, GSC 1 Utama, GSC MyTown, dan GSC IOI City Mall.
Tayangan filem sepanjang festival itu adalah percuma.
Tiket boleh ditebus secara atas talian bermula 7 hingga 16 Julai di https://www.gsc.com.my/ melalui pilihan "e-pembayaran GSC", aplikasi mudah alih GSC, atau kiosk tiket di satu daripada empat lokasi yang ditetapkan GSC.
Hanya dua tiket boleh ditebus dalam satu-satu masa.
Lada berkata, majlis resepsi dan tayangan khas akan diadakan pada 13 Julai di GSC Mid Valley, dan dihadiri barisan pelakon Love Destiny the Movie, Paris Intarakomalyasut dan Faces of Anne, Praewa Suthamphong dan Jennis Oprasert.
Sebagai tanda penghargaan kepada Kelab Peminat Thai Malaysia, beliau berkata, peminat akan diberi peluang mendekati ketiga-tiga pelakon itu semasa acara temu mesra eksklusif di Dewan 19, GSC Mid Valley.
Masuk adalah percuma tetapi para penonton diminta melengkapkan prapendaftaran berikutan tempat duduk yang terhad.
Peminat boleh mendaftar nama dan butiran di https://forms.gle/TvsfBEJv5FTreriG6 selewat-lewatnya pada 5 Julai.
80 peserta pertama akan diumumkan melalui e-mel masing-masing dan di halaman Facebook Kedutaan Thailand menjelang 7 Julai.
Semasa sidang media itu, Kedutaan Thailand turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pengedar filem tempatan, Suraya Filem & Distribution bagi mengukuhkan kerjasama membabitkan filem, kandungan dan produksi Thai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!