Saman jutaan ringgit 'isyarat' jangan sesekali khianat parti

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat membenarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung isu pelanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada PKR.

Perkara itu sudah tentu memberi isyarat kepada mana-mana ahli politik yang berniat untuk mengkhianati mandat diberikan rakyat supaya tidak sesekali bertindak meninggalkan parti demi kepentingan peribadi sekali gus mengheret negara ke kancah ketidakstabilan politik.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti berkenaan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap 10 bekas ahli Parlimen yang melanggar syarat bon mengikat kepada parti.

Saifuddin Nasution berkata, fakta kes tersebut sama seperti saman yang dikemukakan PKR terhadap terhadap Zuraida.

PKR sebelum ini membuat tuntutan terhadap 19 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melanggar bon tersebut.

Selain Zuraida, mereka adalah bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau) serta Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo).

Sementara ADUN pula melibatkan Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Sementara itu, beberapa pemimpin yang bakal dikenakan tindakan saman tersebut tidak dapat memberi komen berhubung isu berkenaan.

Antaranya bekas Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Dr Daroyah Alwi yang menyatakan tidak boleh memberi komen ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada Jumaat yang membenarkan PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida yang keluar parti itu tiga tahun lalu.

Selain Daroyah, Sinar Harian turut menghubungi ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, namun bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR itu berada dalam satu program dan tidak dapat memberikan respon.

Isu saman tersebut mendapat respons daripada beberapa pemimpin PKR termasuk Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyifatkan saman terhadap Zuraida merupakan keputusan yang tepat.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, keputusan tersebut selaras dengan Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan baru-baru ini.

Sebenarnya tindakan saman itu juga merupakan suatu langkah yang baik untuk memberi pengajaran kepada setiap ahli politik tanpa mengira mana-mana parti politik di negara ini supaya tidak sesekali melakukan perbuatan khianat.

Perkara ini penting bagi memastikan sistem demokrasi berparlimen terpelihara tanpa sebarang ancaman daripada sesetengah pihak yang berniat menjatuhkan kerajaan sedia ada sekali gus mengkhianati mandat rakyat.

Hakikatnya perkara yang rakyat mahukan daripada setiap ahli politik adalah tindakan berprinsip sebagai seorang pemimpin atau wakil rakyat yang tidak sesekali mengkhianati kepercayaan pengundi.

Jadilah pemimpin yang amanah serta berintegriti selain mengutamakan kepentingan rakyat sebagai dasar utama perjuangan dan bukannya mengejar kepentingan peribadi semata-mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!