Tragedi Titan: CEO abai amaran tahap keselamatan kapal selam

No Image Caption
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) OceanGate, Stockton Rush dilaporkan berulang kali mengabaikan peringatan mengenai ciri-ciri keselamatan kapal selam Titan OceanGate, dalam e-mel beliau dengan pakar penyelidikan laut dalam terkemuka, Rob McCallum.

Dalam mesej yang dilihat oleh agensi berita BBC, McCallum memberitahu, Rush berpotensi mengancam nyawa pelanggan-pelangganya dan CEO OceanGate itu digesa untuk berhenti menggunakan kapal selam tersebut sehingga mendapat sijil pengiktirafan daripada badan bebas.

Namun begitu, Rush memberitahu, beliau 'letih dengan pemain industri yang cuba menggunakan hujah keselamatan untuk menghentikan inovasi.'

Perdebatan yang tegang itu berakhir selepas peguam OceanGate mengancam tindakan undang-undang, tegas McCallum.

"Saya rasa anda berpotensi menempatkan diri anda dan pelanggan anda dalam situasi yang berbahaya," tulis McCallum kepada bos OceanGate itu pada Mac 2018.

"Dalam perlumbaan anda ke Titanic, anda sedang mengulangi slogan terkenal: 'Ia tidak akan tenggelam'."

Dalam mesej-mesej tersebut, Rush yang juga antara lima mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi Titan meluahkan kekecewaan mendiang berhubung kritikan terhadap ciri-ciri keselamatan kapal karam berkenaan.

“Kami sudah sering mendengar dakwaan ‘anda akan membunuh seseorang’ sesuatu yang tidak berasas,” kata Rush dalam balasan e-mel itu.

“Saya menganggap ini sebagai satu penghinaan peribadi yang serius."

McCallum juga memberitahu BBC bahawa beliau sudah berkali-kali menasihati syarikat itu agar mendapatkan sijil untuk Titan sebelum menggunakannya untuk lawatan komersial.

Kapal selam tersebut tidak pernah mendapat sijil atau pengelasan daripada mana-mana berwajib.

“Sehingga kapal selam itu mendapat pengelasan, diuji dan terbukti, ia tidak sepatutnya digunakan untuk operasi penyelaman laut dalam komersial," tulis McCallum dalam e-melnya kepada Rush.

"Saya memohon agar anda mengambil langkah berhati-hati dalam ujian dan percubaan laut anda dan berada dalam keadaan yang sangat konservatif," tambahnya.

"Walaupun saya menghargai keusahawanan dan inovasi, anda berpotensi mengancam seluruh industri."

Dalam balasannya beberapa hari kemudian, Rush mempertahankan perniagaan dan kebolehan beliau.

Rush menegaskan bahawa pendekatan "kejuruteraan yang berfokus dan pendekatan inovatif OceanGate bertentangan dengan prinsip kapal selam, tetapi begitulah sifat inovasi".

Sepanjang berbalas e-mel itu juga, Rush mempertahan kelayakan beliau dan mempersoal rangka kerja yang sedia ada dalam ekspedisi laut dalam.

CEO OceanGate itu mendakwa, "pemain industri cuba menghalang" peserta baharu daripada memasuki pasaran kecil mereka yang sedia ada.

"Saya mempunyai kelayakan yang baik untuk memahami risiko dan isu-isu yang berkaitan dengan penyelidikan bawah laut dalam kenderaan baharu," tulis beliau.

McCallum dalam jawapan balasnya pula menulis dalam nada tegas: "Ujian laut akan menentukan sama ada kenderaan ini mampu menangani apa yang anda hasratkan, jadi sekali lagi, berhati-hati dan pastikan keselamatan tidak terabai."

"Ada banyak perkara penting yang bergantung pada ini lebih daripada Titan dan Titanic," kata beliau lagi.

OceanGate bagaimanapun, masih belum memberi sebarang reaksi mengenai pertukaran e-mel tersebut.

Rush mengasaskan OceanGate pada tahun 2009 dan syarikat tersebut menawarkan pelanggan peluang untuk mengalami perjalanan ke laut dalam termasuk ke lokasi kapal persiaran mewah Titanic karam.

Perjalanan menerusi kapal selam Titan itu mengenakan bayaran AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John's, Newfoundland.

Titan yang dalam perjalanan untuk meneroka sisa bangkai Titanic, bagaimanapun, dilaporkan meletop pada Khamis lalu dan menyebabkan kesemua lima penumpangnya meninggal dunia.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, kapal selam berkenaan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu itu dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic.

Selain Rush, empat mangsa lain yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!