Iktiraf peranan NGO dalam rundingan damai Selatan Thailand

Mohd Azmi (lima dari kanan) menunjukkan MoU Serantau Malaysia-Selatan Thailand di Titi Gajah pada petang Jumaat.
Mohd Azmi (lima dari kanan) menunjukkan MoU Serantau Malaysia-Selatan Thailand di Titi Gajah pada petang Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Thailand perlu diberikan ruang dalam Majlis Perundingan Damai bagi mencari resolusi berkaitan isu Selatan Thailand.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim),Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bagaimanapun setakat ini tiada NGO Malaysia ataupun Thailand berada dalam majlis perundingan tersebut.

Mohd Azmi berkata, pihaknya berharap peranan NGO diterima dan diiktiraf kedua-dua pihak dalam rundingan tersebut.

"Kedua pihak dari kerajaan Thailand dan Malaysia sedang berunding, jadi kita minta diberikan ruang satu NGO Thailand dan satu NGO Malaysia untuk berada dalam majlis perundingan supaya dapat memberi pendapat dan pandangan.

"Kita berharap sekurang-kurangnya diberi status sebagai 'observer'. Jadi, pemerhati pun jadilah kerana peranan NGO itu penting dan jikalau NGO tidak tahu macam mana proses rundingan,maka kita tidak dapat membantu menangani isu kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Serantau Malaysia-Selatan Thailand di Titi Gajah pada petang Jumaat.

Mohd Azmi berkata, selain pihak bertelagah, NGO yang tidak menyebelahi atau menyokong mana-mana pihak perlu ada dalam rundingan damai demi mewujudkan suasana hidup terjamin kepada rakyat terlibat.

"Kekuatan itu ada pada NGO tidak kira sama ada sebelah Malaysia ataupun Thailand yang memiliki sumber pemikir intelektual dan ahli akademik yang masak (memahami) tentang apa sedang berlaku dan apa yang boleh disarankan.

"Kita juga ada NGO yang sangat dekat dengan masyarakat bawahan disebabkan banyak melakukan program, malah kita memiliki pengaruh dari segi kemanusiaan dan berfungsi sangat cepat berbanding kerajaan,"katanya.

Beliau berpandangan, NGO Malaysia dan Thailand juga memiliki pengaruh besar dalam kalangan masyarakat awam.

"Jadi, kerajaan kedua-dua belah pihak perlu mengiktiraf bahawa ada hal-hal tertentu yang NGO lebih mampu untuk mengadakan usaha kedamaian.

"Sebagai contohnya, ada kes pembunuhan ketika itu, yang mana NGO yang bantu.Jadi, kekuatan kita ada dan kena pergi langsung kepada pihak-pihak terlibat,"katanya.

Beliau menekankan dua perkara perlu dilakukan iaitu bina keyakinan dan sentiasa berhubung demi membantu menyelesaikan isu di Selatan Thailand itu.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya akan menghantar kertas cadangan untuk mengesa NGO dimasukkan dalam rundingan damai itu.

Sebelum itu, Mapim mewakili NGO Malaysia dan Council Council for Humanitarian Networking of Shekhul Islam Thailand menandatangani MoU bagi melaksanakan kerjasama pemberdayaan dan pembangunan sosio-ekonomi dan budaya masyarakat antara sempadan Malaysia dan Wilayah Thailand Selatan.

Mohd Azmi berkata, sebanyak 23 NGO Malaysia dan 23 NGO Thailand daripada pelbagai bidang serta universiti menghadiri sesi MoU itu.

"Dalam pertemuan itu, kita ada membincangkan peranan NGO untuk menyumbang kepada keamanan di Wilayah Selatan Thailand dengan pendekatan hubungan rakyat ke rakyat," katanya.

Beliau menambah, NGO terlibat telah membincangkan tentang beberapa agenda seperti budaya, ekonomi,sosial, pendidikan,kesihatan,kebajikan dan kemanusiaan,rundingan damai sehinggalah kepada pembangunan agama.

"Jadi, idea daripada perbincangan itu telah dirumuskan kepada beberapa perkara yang akan dilakukan kerjasama secara berterusan sama ada jangka panjang ataupun pendek,"katanya.

Dalam perkembangan sama, kata Mohd Azmi, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dan berkolaborasi dalam rangka memajukan pembinaan masyarakat Madani iaitu masyarakat yang adil, aman, maju serta sejahtera.

"Kerjasama antara NGO Malaysia dan Selatan Thailand akan dilaksanakan atas asas Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dam ihsan,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha berkolaborasi antara NGO kedua negara dalam wilayah bersempadan mengikut kepakaran dan keahlian masing

"Antara lain, kami juga bersetuju untuk membina kesatuan dan keharmonian masyarakat dalam semangat rantau yang bebas, demokratik dan berintegriti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!