31,600 jemaah haji bergerak ke Arafah Isnin ini

Syed Saleh ketika memberikan taklimat sempena operasi Masyair di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah.
Syed Saleh ketika memberikan taklimat sempena operasi Masyair di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah.
A
A
A

MAKKAH - Seramai 31,600 jemaah haji mula bergerak ke Arafah pada Isnin ini 8 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah yang paling penting dalam Rukun Islam kelima itu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji akan bergerak dari Makkah ke Arafah bermula jam 7 pagi hingga selepas Zohor melibatkan laluan sejauh 21.9 kilometer.

Katanya, sebanyak 21 bas disediakan untuk membawa 3,000 jemaah dengan keseluruhannya 63 trip perjalanan untuk satu maktab.

"Petugas akan buat pemeriksaan di 12 penginapan jemaah, di setiap tingkat dan juga di Masjidil Haram supaya tiada jemaah yang tertinggal,"katanya pada taklimat operasi Masyair di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah di sini.

Pada tahun ini kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina bagi menyempurnakan ibadah haji masing-masing.

Syed Saleh berkata, pada hari wukuf iaitu Selasa 9 Zulhijjah, jemaah haji akan mengikuti khutbah Arafah dan memanfaatkan waktu wukuf dengan ibadah masing-masing seperti doa,berzikir dan membaca al-Quran.

Kata beliau, sebelum Maghrib kira-kira jam 6.30 petang semua jemaah haji perlu berada di dalam bas yang ditetapkan untuk bergerak ke Mudzalifah melibatkan jarak lapan kilometer.

"Apabila masuk Maghrib, jemaah akan dibawa dengan tujuh bas secara ulang-alik dari Arafah ke Mudzalifah dan perlu menunggu separuh malam pada 11.45 malam.

"Duduk seketika di Mudzalifah pada separuh malam dikira memenuhi syarat bermabit seperti yang ditetapkan pakar rujuk," katanya.

Tambah Syed Saleh, dari Mudzalifah jemaah akan bergerak ke Mina dengan jarak perjalanan tujuh kilometer menggunakan sembilan bas selepas jam 11.45 malam.

"Jemaah haji akan berada di Mina pada 10 Zulhijjah hingga 12 Zulhijjah atau sehingga 13 Zulhijjah, berpandukan kepada Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

Pergerakan 31,600 jemaah haji Malaysia bersama kira-kira tiga juta jemaah haji seluruh dunia.
Pergerakan 31,600 jemaah haji Malaysia bersama kira-kira tiga juta jemaah haji seluruh dunia.

"Tahun ini kita rancang supaya 50 peratus lakukan Nafar Awal dan bakinya melakukan Nafar Thani," katanya.

Ujar beliau, semasa proses untuk melontar, jemaah perlu berjalan sejauh 8 kilometer dan dijangka mengambil masa dua jam.

"Ada pos menunggu terdiri daripada petugas kebajikan dan petugas perubatan untuk beri bantuan kepada jemaah yang memerlukan terutama mereka yang lanjut usia," katanya.

Kata Syed Saleh, apabila selesai melakukan lontaran di Jamrah, jemaah akan dibawa dengan 11 bas dari Mina ke Makkah untuk tawaf dan saie.

Safari Wukuf

Seperti tahun-tahun sebelumnya, program Safari Wukuf dilaksanakan bagi membolehkan jemaah haji yang sakit menyempurnakan wukuf masing-masing.

Syed Saleh berkata, pada tahun ini dijangka 70 pesakit akan dibawa menaiki empat ambulans dan enam bas khas supaya dapat membawa jemaah yang terlantar.

"Ini adalah operasi yang cukup penting dan memerlukan perancangan yang rapi kerana perlu berada di Arafah tepat pada masanya bagi mengelakkan jemaah dan petugas perubatan terlepas rukun haji itu," katanya.

Beliau berkata, program yang telah dilaksanakan sejak 2014 itu amat membantu melicinkan operasi Masyair kerana tanpa Safari Wukuf, jemaah yang sakit perlu berada di dalam khemah.

"Berada dalam khemah dalam serba kekurangan dari segi perubatan, risiko terdedah cuaca panas akan membahayakan mereka.

"Dengan program ini klinik di Arafah dapat tumpukan kepada jemaah lain yang memerlukan rawatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan," katanya.

Di samping itu katanya, seramai 50 jemaah yang lanjut usia dan tidak mampu urus diri sendiri telah dikenal pasti untuk diberi perhatian rapi oleh petugas TH dalam Program Prihatin Tetamu Ar Rahman (Peneman).

"Program Peneman seorang jemaah dijaga seorang petugas selama tujuh hari adalah khidmat untuk memastikan mereka yang kurang upaya dapat laksanakan ibadah.

"Petugas akan bawa ke bilik air, mandikan jika perlu, suap makan sekiranya jemaah itu tidak mampu dan pastikan mereka dapat laksanakan ibadah," katanya.

Mengulas mengenai jadual melontar, Syed Saleh berkata Malaysia mendapat keutamaan dari kerajaan Arab Saudi untuk memilih melontar di ketiga-tiga jamrah pada waktu malam.

"Alhamdulilah jemaah kita dapat melontar pada slot malam selepas waktu Maghrib bermula jam 8 malam hingga 10 malam dan ini penting supaya tidak terdedah pada cuaca panas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!