Amanah serah kepada BN tentukan calon MB Kelantan

Khalid (dua, kiri) semasa sidang akhbar di Pejabat Amanah Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.
Khalid (dua, kiri) semasa sidang akhbar di Pejabat Amanah Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Khalid Abdul Samad menyerahkan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon Menteri Besar jika gabungan Kerajaan Perpaduan diberi mandat menerajui negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau berkata, tindakan itu tepat apabila BN dilantik sebagai ketua selepas membentuk gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan dengan Pas pada PRN itu nanti.

"Untuk PRN Kelantan, BN akan 'lead' secara keseluruhan walaupun kita ada bertanding di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagaimanapun, semua perkara itu akan dibincangkan kemudian," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Amanah Kelantan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, kerjasama antara BN dan PH berjalan baik apabila kesemua parti tidak bersikap 'abang besar'.

Ujarnya, segala perbincangan yang sudah diatur sebelum ini berjalan lancar.

Khalid memberitahu, PRN kali ini Amanah menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya empat daripada 14 kerusi yang diperuntukkan kepada PH.

Kata beliau, sasaran itu mampu dicapai jika seluruh jentera parti memberikan komitmen pada PRN nanti.

Pengarah Komunikasi Amanah itu mengakui, Kelantan sukar untuk ditembusi kerana rata-rata rakyat sudah sebati dengan Pas.

"Namun ia tidak menggugat semangat PH dan BN untuk menggempur negeri ini dengan sekurang-kurangnya menambahkan lagi bilangan wakil rakyat pembangkang di DUN," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!