Pasar awam potensi jadi tarikan pelancong

Rumaizi (lima dari kiri) melancarkan Kempen Kawalan Roden di UTC Perak pada Sabtu.
Rumaizi (lima dari kiri) melancarkan Kempen Kawalan Roden di UTC Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhasrat mahu menjadikan pasar awam sebagai salah satu tarikan pelancongan setanding dengan negara luar.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pasar awam boleh dijadikan lokasi untuk pelancong bagi mendapatkan makanan tempatan dan cenderahati.

"Kalau menuju bandar maju dan menarik tumpuan pelancong, kebersihan mesti diutamakan.

"Negara seperti Australia dan Eropah Barat, pasar ini sering dikunjungi pelancong untuk mendapatkan makanan dan cenderahati jadi, saya menggalakkan peniaga untuk mengutamakan kebersihan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kawalan Roden di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Sabtu.

Tambah Rumaizi, Pasar Besar Ipoh, Pasar Pasir Pinji dan Pasar Pasir Puteh dipilih untuk menjalankan kempen tersebut secara berfasa.

"Pelaksanaan kawalan tikus ini adalah untuk mencegah penularan pelbagai jenis bawaan tikus seperti leptospirasis, hawar, jangkitan cacing dan pelbagai virus lain.

"Selain itu, ia dapat mengurangkan masalah infestasi tikus di kawasan PBT meliputi pasar awam dan medan selera," katanya.

Rumaizi berkata, peniaga pasar awam perlu memberi kerjasama dalam menangani masalah urungan tikus dari aspek pelupusan sisa jualan.

"Punca utama adalah disebabkan sisa jualan ikan, sayur dan buah-buahan serta lubang di persekitaran bangunan pasar.

"Komitmen peniaga amat diperlukan dalam melaksanakan aktiviti pemasangan perangkap tikus yang dibekalkan dan sentiasa menjaga kebersihan," katanya.

Beliau berkata, sehingga Mei lalu, sebanyak 747 perangkap dipasang dan ditangkap serta melupuskan 117 ekor tikus di sekitar bangunan milik MBI.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!