Buang sampah di lokasi tersorok
PUNCAK ALAM - Aktiviti pembuangan sisa buangan domestik dan pukal di kawasan tersorok di Alam Jaya dan Bandar Puncak Alam menimbulkan kebimbangan penduduk.
Lebih membahayakan, lori yang membawa muatan berlebihan turut membahayakan keselamatan penduduk terutamanya pelajar sekolah pada waktu puncak.
Jurucakap Responds Team Bandar Puncak Alam (BPA), Kamarulzaiki Kamarudin, 50, berkata, aktiviti pembuangan sampah haram di lokasi tersorok dikesan sejak awal Februari lalu.
“Lori yang bawa muatan sampah secara berlebihan ini wajar dipantau agensi berkaitan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
“Lebih membahayakan sebab laluan lori ini sama jalan ke sekolah sebelum masuk ke laluan tikus untuk membuang sampah secara haram,” katanya.
Menurutnya, pihak berwajib dapat membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasan.
“Sebab lori ini lalu tak kira masa, lebih-lebih lagi kawasan Alam Jaya sedang rancak membangun dengan pelbagai projek.
“Responds team ini sangat menitikberatkan isu keselamatan penduduk di kawasan ini selain isu masalah sosial.
“Kami NGO memang fokus isu berkaitan keselamatan termasuk lori sampah muatan berlebihan selain isu mat rempit dan maksiat.
“Kita kerja ni pun atas dasar sukarela demi ALLAH, selain mahu memastikan BPA ini bebas dari masalah gejala sosial,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan berkata, pelbagai isu dibangkitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin termasuk Ketua Keselamatan BPA, Roslan Afirin di kawasan ini.
“Isu sampah haram ini sudah dibangkitkan kepada pihak berwajib berikutan bahu jalan jadi sasaran individu tidak bertanggungjawab.
“Cuma saya nak tekankan sikap penduduk juga perlu diubah kerana kebanyakan kes kemalangan yang berlaku di persimpangan jalan adalah disebabkan langgar lampu isyarat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu persimpangan lampu isyarat, katanya, cat pudar di persimpangan jalan perlu dicat dan dipasang garisan putih sebelum melintas dan membelok.
“Tanda amaran wajar dipasang di kawasan kerap berlaku kemalangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!