Kerajaan guna segala usaha tamatkan tuntutan Sulu - Azalina

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia akan terus melaksanakan segala usaha bagi menamatkan tuntutan timbang tara melibatkan isu tuntutan Kumpulan Sulu yang turut menggunakan negara-negara lain bagi menguatkuasakan perintah award tidak sahih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana kos pengendalian bagi perintah palsu tersebut akan memberi impak kewangan kepada kerajaan Malaysia dan wang rakyat.

"Saya berharap komuniti penimbang tara antarabangsa akan mengambil tindakan berkesan dan secara kolektif bagi mengekalkan kesucian proses serta amalan timbang tara.

"Mana-mana negara sama ada kaya atau miskin, tidak seharusnya menjadi mangsa kepada timbang tara yang tidak berasas atau terperangkap melalui penyalahgunaan proses undang-undang, seperti dalam kes Sulu yang dari awal lagi merupakan penyalahgunaan secara sistematik terhadap proses timbang tara.

"Sebagai ahli undang-undang dan bekas peguam, saya menyokong usaha pengukuhan sistem timbang tara global selain menggesa pengawalan pembiayaan litigasi terutama dari sudut ketelusan dan pendedahan mengenai dana diperoleh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Azalina menyatakan peguam yang dilantik bagi mengendali isu tuntutan Kumpulan Sulu yakin Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk menang berdasarkan fakta dan bukti jelas yang menyebelahi negara.

Azalina berkata, ketika ini beliau mengadakan lawatan bersama Peguam Cara Negara II, Datuk Almalena Sharmila Johan (mewakili Jabatan Peguam Negara) dan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Datuk Akmal Che Mustafa ke Madrid, Sepanyol di mana lapan individu yang mendakwa waris Sulu memulakan timbang tara.

Kumpulan lapan individu warga Filipina itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang melalui proses timbang tara di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kes Sulu juga mencerminkan bagaimana proses timbang tara boleh disalahgunakan untuk mengancam negara-negara berdaulat dalam ketiadaan mekanisme pengawasan selain kegagalan penimbang tara untuk mematuhi standard etika dan profesional yang tegas.

Jelas beliau, satu kod etika yang tegas bagi penimbang tara akan dapat menghapuskan mana-mana penimbang tara palsu yang berupaya sehingga melumpuhkan sebuah negara berdaulat.

Menurutnya, tiada negara berdaulat sepatutnya terperangkap oleh konspirator disebabkan oleh kegagalan penimbang tara mematuhi standard etika yang ketat.

"Proses timbang tara pada hari ini terdedah kepada penyalahgunaan. Proses timbang tara itu sendiri boleh dipindahkan dan sebelum keputusan di Sepanyol diperoleh, penimbang tara dalam kes Sulu ini memindahkan kes timbang tara ke Paris.

"Penuntut kemudian berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan dari perintah itu di negara seperti Belanda dan Luxembourg," ujarnya.

Beliau membuat secara kesimpulan bahawa pihak yang membuat tuntutan boleh memindahkan proses ini ke negara-negara yang mempunyai keanggotaan dalam Konvesyen New York 1958 mengikut pilihan mereka hingga dapat mencapai satu keputusan yang dapat menguntungkan mereka.

Katanya, mereka berupaya menggunakan taktik tersebut kerana menerima pembiayaan yang tinggi daripada dana litigasi.

"Pelabur yang menyokong usaha mereka, dengan harapan jika penuntut berjaya dalam proses timbang tara ini maka mereka akan mendapat laba sebagai komisen dari perintah award itu.

"Usaha mereka ini boleh berterusan. Bagi Malaysia, setiap ringgit dan sen serta sumber yang digunakan bagi mempertahankan kedaulatan negara datang dari duit rakyat," ulasnya.

Justeru, Azalina berkata, perkara tersebut bukanlah pertikaian komersil tetapi satu tuntutan timbang tara palsu selain Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara ini.

"Sementara Malaysia terus mempertahankan kedaulatan negara, usaha sedang dilakukan secara seiring untuk lebih memahami kes Sulu ini dan bagaimana proses timbang tara boleh diperbaiki lagi untuk mengelak disalahgunakan.

"Antara usaha tersebut adalah Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 yang akan berlangsung pada 4 Julai 2023 di Sabah. Kolokium ini yang juga diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Mei lepas telah berjaya menghimpunkan ahli akademik, peguam, ahli sejarah dan komuniti timbang tara antarabangsa.

"Selain ia berfungsi sebagai platform untuk mendorong perbincangan tentang kes Sulu. Kolokium itu juga turut akan diadakan di United Kingdom pada akhir tahun ini," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!