FSB siasat ketua Wagner atas cubaan rampasan kuasa

Kenderaan berperisai yang tidak dikenali di jalan di bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia. - Foto AFP
Kenderaan berperisai yang tidak dikenali di jalan di bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Perkhidmatan rahsia Rusia FSB menjalankan siasatan terhadap ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin atas cubaan rampasan kuasa tentera.

Ketua tentera upahan itu didakwa mengarahkan anggotanya memerangi kepimpinan tentera Moscow pada petang Jumaat, lapor dpa memetik agensi berita Interfax.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata Presiden Vladimir Putin telah dimaklumkan mengenai hal itu.

Prigozhin mendakwa pasukannya telah menduduki kemudahan tentera utama di bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia.

"Kemudahan tentera Rostov kini di bawah kawalan kami, termasuk lapangan terbang," kata Prigozhin menerusi rakaman video pada pagi Sabtu.

Kementerian Pertahanan di Moscow pada mulanya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan Prigozhin.

Prigozhin juga berkata bahawa jet pejuang yang digunakan untuk menentang Ukraine terus berlepas dari lapangan terbang di Rostov seperti yang dirancang: "Pesawat... berlepas mengikut jadual."

Prigozhin mendakwa sebelum ini pasukannya menembak jatuh sebuah helikopter tentera yang menyasarkan konvoi awam.

Tiada bukti jelas yang menyokong dakwaan itu.

Gabenor wilayah Rostov, Vasily Golubev memberitahu penduduk setempat supaya bertenang dan kekal berada di dalam rumah.

"Agensi penguatkuasaan undang-undang melakukan segala yang diperlukan untuk memastikan keselamatan penduduk kawasan itu,” menurut hantarannya di Telegram.

Prigozhin menuduh kepimpinan tentera Moscow menyerang unit tentera upahannya dan mengancam untuk bertindak balas.

Bagaimanapun, FSB dan Kementerian Pertahanan Rusia menafikan dakwaan Prigozhin.

Semua dakwaan adalah palsu dan bersifat "provokasi," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!