Elak 'scammer' tempah pakej percutian, umrah

Mohd Firdaus (tengah) membuat lawatan ke lebih 30 pempamer yang mengambil bahagian dalam Kedah Matta Fair 2023 di Central Square, Sungai Petani bermula 23 hingga 25 Jun ini.
Mohd Firdaus (tengah) membuat lawatan ke lebih 30 pempamer yang mengambil bahagian dalam Kedah Matta Fair 2023 di Central Square, Sungai Petani bermula 23 hingga 25 Jun ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa 'scammer' ketika memilih pakej percutian atau umrah sehingga mendatangkan kerugian.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, antara langkah yang boleh diambil termasuk mengenal pasti latar belakang syarikat dan berurusan secara fizikal iaitu bertemu serta berbincang sebelum membuat sebarang pembayaran.

Menurutnya, tindakan segelintir individu yang gemar guna jalan mudah tanpa selidik atau berurusan secara dalam talian, antara risiko ditipu scammer.

"Segelintir orang tak mahu susah, nak buat kerja mudah, jadi daripada situ scammer ambil peluang," katanya ketika merasmikan Kedah Matta Fair 2023 di Central Square di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Firdaus, bagi mengelakkan daripada ditipu, pelanggan yang ingin mendapatkan pakej percutian atau umrah perlu memastikan urusan dibuat dengan syarikat berdaftar.

Orang ramai hadir mendapatkan pakej percutian dan umrah yang ditawarkan semasa Kedah Matta Fair 2023 yang berlansung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun.
Orang ramai hadir mendapatkan pakej percutian dan umrah yang ditawarkan semasa Kedah Matta Fair 2023 yang berlansung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun.

"Sebelum buat bayaran pastikan syarikat pelancongan terbabit wujud, mempunyai lesen, jika syarikat umrah, perlu pastikan ada lesen umrah serta syarat-syarat lain dipatuhi," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penganjuran Kedah Matta Fair yang disertai lebih 30 pempamer adalah platform terbaik buat pelanggan mendapatkan pakej yang sah.

"Kalau kat sini tak payah susah, boleh tanya secara langsung dan bertemu secara fizikal...nak duduk dan tanya dua jam pun tak apa di depan kaunter.

"Bukan beli pakej secara dalam talian dan tanya pendapat kawan, dengan cara ini, kita rasa boleh kurangkan kes penipuan atau scammer," ujarnya.

Kedah Matta Fair yang dianjurkan buat julung kali di negeri tersebut dibuka kepada orang ramai selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun ini.

Pelbagai pakej menarik ditawarkan sehingga potongan 30 peratus termasuk percutian dalam dan luar negara, pakej ibadat serta umrah bertujuan memberi peluang kepada pemain industri turun padang sekali gus merancakkan kembali industri pelancongan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!