PRN Kelantan: Jumlah kerusi kepada PH munasabah - Khalid

Khalid - Foto Bernama
Khalid - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan adalah munasabah, kata Pengerusi Amanah Kelantan, Khalid Abdul Samad.

Beliau yang enggan menamakan dan jumlah kerusi yang diterima PH hasil perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) itu juga berkata, jumlah itu lebih baik berbanding diterima Bersatu yang membentuk gabungan dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

"Kami tidak terpinggir seperti Bersatu dengan PAS. Di Kelantan kami juga memang akur BN yang akan memimpin berdasarkan kepada keputusan pilihan raya dahulu,” katanya pada sidang media di Pejabat Amanah Kelantan, di sini hari ini.

Sebelum ini Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman dilapor berkata calon BN akan diletakkan di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH yang merangkumi Amanah dan PKR.

Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat pula mengesahkan parti itu akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi.

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata parti itu menyasarkan untuk memenangi tiga atau empat kerusi DUN pada PRN Kelantan nanti.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedahkan nama kerusi DUN yang disasarkan parti itu.

"Pembahagian kerusi di peringkat negeri sudah selesai dan hanya menunggu keputusan pusat,” katanya. DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan secara rasmi pada Rabu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!