Pilu sambut Ramadan tanpa dua insan tersayang

Aslina (kiri) menerima sumbangan disampaikan Noorsaiful dan Fazinda Halina di rumahnya di Kampung Parit Hassan, semalam.
Aslina (kiri) menerima sumbangan disampaikan Noorsaiful dan Fazinda Halina di rumahnya di Kampung Parit Hassan, semalam.
A
A
A

PONTIAN - Ketibaan Ramadan kali ini dirasakan cukup hambar bagi ibu tiga anak yang kehilangan tempat bergantung selepas ayah dan suami tersayang pergi buat selama-lamanya.

Lebih memeritkan suaminya, Abdul Razak Sanusi menghembuskan nafas terakhir selepas seminggu bapanya, Abdullah Ahmad meninggal dunia Februari lalu.

Aslina Abdullah, 33, mengakui, dia seakan tidak percaya dengan dugaan yang diterimanya itu lebih-lebih lagi dia kini perlu membesarkan tiga anaknya iaitu Siti Zulaikha, 7; Mohd Adam Imran, 4, dan Siti Safiyah,1, yang masih kecil.

“Anak-anak hilang tempat bermanja. Selalu sangat tanya mana ayah dan atuk mereka.

“Saya tak tahu macam mana nak teruskan hidup selepas ketiadaan ayah dan suami yang menyara saya dan anak-anak selama ini,” katanya selepas menerima sumbangan Ziarah Kasih Ramadan Sinar Econsave bersama MPPK Kampung Parit Hassan, semalam.

Hadir sama Pengerusi MPPK Kampung Parit Hassan, Noorsaiful Amri Suloh dan Pengurus Econsave Cawangan Pontian, Fazinda Halina Kamal Fauzli.

Aslina memberitahu, pada malam ketujuh selepas kenduri doa selamat arwah bapanya, suaminya pula mengadu sakit kaki sehingga terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Batu Pahat.

“Keluar nanah dari kaki kiri suami yang menghidap penyakit gout selepas dicucuk oleh doktor.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya, pembedahan mengeluarkan nanah dilakukan. Namun tuhan lebih menyayangi suami, selepas pembedahan dia hembuskan nafas terakhir,” katanya.

Ditanya tentang persiapan Ramadan, Aslina berkata, segalanya dilakukan dengan cukup sederhana memandangkan dia tidak bekerja dan bergantung dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

“Terima kasih atas sumbangan yang diberikan, besar maknanya kepada saya dan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Fazinda Halina berkata, pasaraya Econsave cukup prihatin membantu golongan kurang bernasib baik menyambut Ramadan.

Katanya, diharapkan sumbangan berkenaan dapat meringankan beban penerima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!